Membawang Hari Ini

Dapat idea lawak jumpa ramai orang – Sherry Alhadad

KUALA LUMPUR: Selain Jihan Muse dan Zulin Aziz, Sherry Alhadad ketika ini juga antara pelawak serta pelakon komedi yang cukup menyerlah.

Malah selain berlakon, Sherry juga turut dikurniakan bakat mengacara. Kelibatnya sebagai pengacara juga tak dinafikan.

Pendek kata, Sherry antara yang sering ditawarkan kerja mengacara, berlawak dan berlakon.

Umum tahu menjadi pelawak biarpun nampak mudah dan sering menggelikan hati penonton, kerjaya itu sebenarnya bukan calang-calang orang boleh melakukannya. Sebagai manusia biasa, Sherry juga mengakui bukan selalu idea melawak itu datang.

Ilham melawak itu sesekali akan hilang dari fikiran tetapi Sherry mempunyai cara tersendiri untuk memastikan lawak spontan dan idea melawak itu segar dan tidak klise.

Selain pembacaan dan menonton cerita lawak sama ada di TV atau di laman internet, Sherry juga mendedahkan dia banyak memerhati gelagat orang ramai atau mereka yang selalu ditemui untuk mewujudkan ilham dalam melawak.

“Pelawak atau sesiapapun yang berbekalkan modal ‘air liur’ untuk mencari rezeki sememangnya bukan selalu dapat ilham yang diingini. Kadang-kadang boleh ‘ke laut’ juga jadinya.

Saya sendiri sering mengajar diri untuk mendapatkan input berlawak daripada orang yang selalu kita jumpa. Itu antara cara mudah saya mendapatkan idea dan ilham spontan,” katanya kepada BH Online dalam pertemuan baru-baru ini di Bangsar Village.

Dalam perkembangan lain, Sherry akan kembali ‘beraksi’ di pentas pengacaraan bersama teman baiknya, Zulin Aziz.

Pernah menggeletek hati penonton Anugerah Skrin (ASK) tahun lalu di Stadium Malawati, Shah Alam sekitar 2013 ketika program rehat untuk iklan, kedua-dua mereka kini naik taraf apabila diberi mandat mengacarakan majlis berprestij di pentas utama.

Slot berkenaan hanya ditonton penonton di stadium sahaja. Sherry dan Zulin ditawarkan tanggungjawab sebagai hos utama Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).

Sebelum ini mereka juga pernah mengendalikan program Melodi di TV3 bersama Awal Ashaari.

Sherry sendiri pernah berkongsi pentas pengacaraan di samping Amy Mastura dan AG Hot FM ketika berlangsungnya Anugerah Bintang Popular BH 2014 beberapa bulan lalu.

Terbaharu, Sherry atau nama penuhnya, Sharifah Mariam Syed Abdul Al Hadad diberi kepercayaan Astro pula mengendalikan Anugerah Lawak Warna (ALW) 2015 bersama Datuk AC Mizal dan Zulin Aziz.

Anugerah bertemakan Celebration itu bakal berlangsung pada 21 Ogos ini jam 9 malam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

“Ini acara anugerah kedua pada skala besar yang saya terima selepas ABPBH 2014. Saya tak ada masalah bergandingan dengan Zulin kerana kami sudah selalu bekerjasama.

Tapi itu tak bererti saya boleh ambil mudah. Cuma saya teruja dengan kerjasama sulung dengan Datuk AC.

Tak sabar rasanya untuk menanti detik acara ini berlangsung,” katanya yang berkecimpung dalam bidang seni sejak 2006.

ALW 2015 mempertandingkan 17 kategori keseluruhan yang terdiri daripada 13 Anugerah Terbaik dan empat Anugerah Popular, satu Anugerah Khas Juri turut dipertandingkan pada tahun ini.

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134). Sherry turut rancak menjalani sesi latihan teater Maduku Kalut Returns yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 7 hingga 9 Ogos ini.

Tiket menonton teater Maduku Kalut Returns boleh dibeli secara atas talian menerusi www.airasiaredtix.com dan dijual dengan harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 (platinum).

Sherry juga akan terbabit dengan pementasan Lawak Ke Der Live di Singapura 2015 pada 14 dan 15 Ogos ini di Kallang Theater. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.sistic.com.sg.

– http://www.bharian.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");