Membawang Hari Ini

Feeya Iskandar tak kisah dianggap tua sebelum waktunya

KUALA LUMPUR: Usianya masih muda tetapi bekerja sebagai penyampai radio di Sinar FM yang pernah dilihat sebagai stesen radio yang memutarkan lagu lama atau ‘otai’ tidak menjadi masalah besar buat Feeya Iskandar.

Penyampai comel yang bakatnya mula digilap daripada program Anak Wayang di Astro ini tidak kisah dengan tanggapan atau skeptikal yang dirinya seperti ‘makcik-makcik’.

Feeya umpama pelapis kepada penyampai radio Sinar FM iaitu Abby Fana atau lebih dikenali dengan nama Kak Bed. Abby Fana dan Feeya memang cukup dikenali dalam kalangan pendengar radio di peringkat usia pertengahan. Feeya atau lebih mesra dengan panggilan Cik Piah sekalipun dianggap tua sebelum waktunya.

Sudah lima tahun bersama Sinar FM, Feeya atau nama sebenarnya Nor Syafiza Iskandar Azizan pernah ditawarkan menjadi penyampai sambilan radio ERA dan XFresh selepas menyertai Anak Wayang.

Celoteh Feeya memang macam bertih jagung. Berkongsi cerita kepada BH Online, Feeya menganggap bekerja di Sinar FM menjadi pengalaman berharga buatnya.

“Ya, pada awal kemunculan saya di Sinar FM, saya baharu berumur 21 tahun. Hitunglah usia saya sekarang sudah berapa. Ketika itu Sinar FM masih lagi dikenali dengan radio muzik retro.

“Saya ini jenis boleh dan senang bergaul dengan sesiapa sahaja tak kira usia. Kalau nak kata saya tua sebelum waktunya kenalah tengok muka saya yang sebenarnya di sebalik radio itu.

“Memang kalau orang dengar suara saya di corong radio pasti ingat saya sudah berumur. Ditambah dengan gaya cakap saya yang macam ‘makcik-makcik’ lagilah orang ingat saya sudah tua.

“Cuma sekarang Sinar FM sejak berwajah baharu memang bukan setakat menyiarkan lagu lama tetapi apa sahaja rentak segar mengikut peredaran masa,” katanya. Perkataan ‘tua’ atau ‘otai’ itu sebenarnya cukup sinonim dengan Feeya.

“Saya pun diberi mandat mengacarakan segmen belakang tabir Kilauan Emas. Jadi saya tak kekok bergaul dengan orang yang lebih tua atau ‘otai’. Saya pun ramai makcik, jadi saya pun kadang-kadang ‘kepoh’ dan banyak cakap juga.

“Asalnya saya tampil dengan nama Feeya tapi seorang rakan sekerja menyuruh ditukar kepada Cik Piah kerana majoriti pendengar Sinar FM berusia 30-an ke atas. Nama ini terus melekat dan saya tak kisah dipanggil dengan nama begini di mana-mana,” katanya.

Selepas dilihat selesa menjadi penyampai radio, bagaimana pula dengan kerjaya lakonan yang dikembangnya di dalam program Anak Wayang? Malah Feeya juga boleh menyanyi dan memenuhi undangan mengacarakan majlis.

Feeya pernah membintangi beberapa buah drama dan telefilem seperti Kasih Aliya dan Jamilah I Love U. “Daripada Anak Wayanglah saya mula bertatih mencari tempat dalam industri. Cuma selepas keluar Anak Wayang, tiada tawaran berlakon pun yang kunjung tiba.

“Tawaran menjadi penyampai radio yang datang dahulu. Saya hadiri uji bakat penyampai radio dan Alhamdulillah dapat.

Bos Sinar FM ketika itu Pak Tam (Rostam Said) yang menawarkan peluang bekerja di radio ini “Biarpun selesa dengan menyampai radio, cita-cita nak jadi pelakon itu masih ada.

Tapi apabila sibuk dengan kerjaya di konti radio dan hujung minggu pula ada tawaran menjadi pengacara majlis, maka hasrat itu bagaikan terpadam seketika dek faktor masa,” katanya.

Di akhir temubual, Feeya tak lokek berkongsi kisah peribadinya.

Ikut perancangan, dia dan kekasih hati bernama Nurashid Abd Wahab akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan.

“Kami baharu sahaja kenal tapi macam 10 tahun rasanya saya sudah kenal dia. Alhamdulillah keluarga masing-masing pun sudah merestui.

Ikut perancangan memang tak nak bertunang dan nikah terus. Dia menguruskan perniagaan katering keluarga dan berusia 28 tahun,” katanya.

– http://www.bharian.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");