Sukan Hari Ini

Yan Yee ikut jejak Pandelela ke Olimpik Rio 2016

KUALA LUMPUR – Atlet terjun negara Ng Yan Yee berjaya mengekori jejak langkah Pandelela Rinong apabila menempah tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan.

Atlet berusia 22 tahun itu layak ke temasya berprestij dunia itu selepas menduduki tempat ke-11 ketika menamatkan saingan separuh akhir acara tiga meter papan anjal wanita individu dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia semalam.

Yan Yee menamatkan tujuh terjunan dengan mengumpul 296.10 mata untuk berkongsi tempat ke-11 bersama Olena Fedorova dari Ukraine.

Sebanyak 12 peserta layak ke persaingan akhir, dengan kesemuanya secara layak ke Olimpik Rio automatik.

“Saya rasa sungguh baik sekarang. Terima kasih saya ucapkan kepada jurulatih saya (Yang Zhu Liang) yang banyak menyuntik semangat untuk saya berada di tahap seperti ini,” kata Yan Yee ketika dihubungi semalam.

“Saya tak sangka dapat melayakkan diri ke final memandangkan ini merupakan Kejohanan Dunia pertama saya. Untuk peringkat akhir esok (hari ini) saya akan melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama negara,” kata pemenang satu pingat emas dan satu perak Sukan SEA Singapura itu lagi.

Ini kali kedua penerjun dari ibu negara itu melayakkan diri ke Olim­pik selepas melakukannya tiga tahun lalu di London.

Dalam aksi separuh akhir semalam, kuasa terjun dunia China mendominasi saingan tersebut menerusi Shi Tingmao dan He Zi de­ngan masing-masing meraih 381.90 dan 371.40 mata untuk menguasai dua tempat teratas senarai peserta peringkat separuh akhir.

Tempat ketiga diraih Jennifer Abel dari Kanada (353.90 mata).

Rabu lalu, Pandelela menjadi atlet Malaysia terawal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 setelah menduduki tempat kelapan dengan 338.10 mata dalam peringkat separuh akhir acara 10 meter platform individu wanita.

Ratu terjun dari Sarawak itu kemudiannya mempamerkan aksi konsisten dalam peringkat akhir untuk meraih pingat gangsa yang juga pingat pertama negara dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memuji hasil kerja yang dipamerkan Yan Yee dan berharap atlet itu dapat memberikan tentangan sengit dalam peringkat akhir nanti.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Yan Yee yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik selain mara ke final Kejohanan Dunia buat pertama kali. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan saya harap berita positif akan memihak kepada skuad kebangsaan,” katanya.

– http://www.utusan.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");