Berita Hari Ini

Fama giat kempen makan buah tempatan

KUALA TERENGGANU – Fama Terengganu giat mengadakan ‘Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2015.

Pengarah Fama Negeri, Hasan Jusoh berkata, kempen sebulan itu telah bermula di berapa sekolah, politeknik serta pasar tani terpilih di negeri ini.

Menurutnya, kempen telah bermula pada 20 Ogos lalu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Berang, diikuti Politeknik Kota, Kuala Terengganu (24 Ogos) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Paka, Dungun pada 25 Ogos lalu.

“Manakala pada 3 September ini, ia akan diadakan di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Malah kita juga turut menyediakan pulut durian sebagai hidangan istimewa kempen ini.

“Selain itu, pelbagai acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan kempen seperti pertandingan gerai terbaik Merdeka, demonstrasi masakan berasaskan produk Agromas dan juga agihan bendera kepada pengunjung,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lokasi seterusnya adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kemaman, pada 6 September, Pasar Tani Jerteh, Besut (10 September), Pasar Tani Tepoh, Kuala Nerus (12 September) dan SMK Padang Midin, Kuala Terengganu pada 14 September.

Menurutnya, sepanjang kempen di lokasi terpilih itu, Fama akan membekalkan kira-kira 600 hingga 700 kilogram pelbagai buah-buahan tempatan bermusim seperti durian, rambutan, duku, langsat dan manggis untuk dinikmati di situ lokasi tersebut.

“Orang ramai di alu-alukan hadir ke lokasi tersebut untuk menikmati buah-buahan tempatan bermusim ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Mohd Zaki Deraman, 46, berkata, usaha Fama itu menggalakkan orang ramai menikmati buah-buahan tempatan sebagai usaha mengatasi masalah lambakan hasil tersebut di pasaran.

Malah katanya, tindakan memperluaskan kempen ke sekolah-sekolah di negeri ini juga dilihat sebagai jalan terbaik menyemai minat memakan buah-buahan tempatan pada peringkat awal.

“Ada sesetengah buah-buahan seperti rambutan, dokong, durian memang ada sepanjang tahun tetapi diimport dari negara jiran. Selain lebih mahal, rasanya tentunya berbeza dengan buah-buahan tempatan,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");