Membawang Hari Ini

Jalan Mati kembali di pentas

Festival Teater Negeri Selangor 2015 (FTNS 2015) yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada 6 hingga 15 November lalu mengangkat karya berjudul Jalan Mati terbitan Persatuan Seni Ceritera dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS) dan Majlis Teater Selangor (MTS) sebagai juara.

Pementasan arahan Khusairy Mahayuddin ini menewaskan sembilan kumpulan teater lain sekali gus mewakili Selangor ke Festival Teater Malaysia 2015.

Skrip asal tulisan Leigh Whanell yang pernah diangkat ke layar perak menerusi filem Saw 1 itu diterjemahkan Roydy Anuar ke pentas teater. Ia berjaya memukau penonton dan juri pada FTNS 2015.

Justeru, bagi memberi peluang kepada penonton yang tidak berkesempatan menyaksikannya teater Jalan Mati yang membariskan pelakon Azerai Azmi (Doktor Lokman), Zakri Rozaini (Azam), Jack Hafiz (Mayat) dan Naqia Nasution ini akan dipentaskan semula hari ini dan esok 2016 di Auditorium Mini Matic, jam 8.30 malam.

Khusairy berkata, karya ini dipentaskan semula sebagai tanda penghargaan kepada peminat.

“Kami bersyukur dan gembira kerana Jalan Mati meraih kejayaan besar menerusi kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Selangor 2015 (Azerai Azmi) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Teater Selangor 2015 (Zakri Rozaini).

“Kejayaan ini tidak dijangka apatah lagi persaingan sangat sengit. Gabungan pelakon teater berpengalaman menjadi tunjang kekuatan pementasan ini.

“Diharap pencinta seni teater tidak melepaskan peluang menonton Jalan mati. Sudah pasti kami akan menampilkan persembahan yang lebih baik,” katanya.

Jalan Mati mengisahkan Azam dan Dr Lokman terperangkap dalam sebuah tandas usang dengan kaki mereka dirantai.

Dua lelaki itu kemudian dipaksa bermain Permainan Maut yang akan menentukan nasib mereka. Hanya pemenang sahaja boleh hidup manakala yang kalah akan mati.

“Bagi membantu penonton menghayati makna di sebalik ekspresi wajah, aksi dan dialog, saya tidak gunakan muzik sebaliknya mengetengahkan bunyi titisan air sepanjang pementasan.

“Perasaan penonton akan tersentuh dengan luahan penyesalan dan kasih sayang Doktor Lokman. Penonton juga akan bersimpati dan sesekali geram dengan Azam yang licik.

“Saya mahu penonton berteka-teki kenapa Azam dan Doktor Lokman diperlakukan sedemikian rupa,” kata Khusairy.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");