Jenayah

Tipu Agrobank: Mahkamah Tinggi Kekal Pembebasan Pembantu Kedai Runcit

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan pembebasan seorang pembantu kedai runcit atas pertuduhan menipu Agrobank berhubung dokumen permohonan pinjaman bank itu sebanyak RM75,000, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan terhadap Ahmad Kamal Zulkifly, 31, selepas menolak rayuan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini, pada 12 Okt 2015, yang melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu.

Mohamad Shariff dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan Ahmad Kamal selaku responden mempunyai niat untuk menipu Agrobank di akhir kes pembelaan.

Hakim itu berkata mahkamah juga bersetuju dengan Mahkamah Sesyen bahawa tertuduh kedua dalam kes ini iaitu Redzuan Abdul Azis telah menggunakan Ahmad Kamal sebagai mangsa untuk mengemukakan dokumen palsu.

“Ini terbukti apabila Redzuan yang didakwa bersama dengan Ahmad Kamal telah menukar pengakuan kepada bersalah ketika mereka dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan,” kata Mohamad Shariff sambil menambah Redzuan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan atas kesalahan itu.

Mohamad Shariff berkata Mahkamah Sesyen juga telah membuat penilaian peribadi terhadap Ahmad Kamal sepanjang perbicaraan dan berpendapat beliau seorang yang jujur, lurus dan boleh dipercayai serta mendapati tingkah laku fizikal Ahmad Kamal dianggap tidak berapa cerdik dan boleh dipergunakan.

Katanya, sepanjang perbicaraan itu juga Mahkamah Sesyen telah melihat perwatakan Ahmad Kamal dan yakin beliau adalah seorang yang lembab pemikiran dan tidak boleh berfikir sama ada perkara yang dilakukannya betul atau salah di sisi undang-undang.

“Hasil laporan perubatan juga mendapati Ahmad Kamal mengalami masalah pemikiran yang dikenal pasti sebagai ‘slow thinker’,” kata hakim itu.

Mohamad Shariff berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan Ahmad Kamal mempunyai niat dan mempunyai pakatan bersama Redzuan untuk merancang menipu pihak bank bagi mendapatkan pinjaman sebanyak RM75,000.

“Mahkamah juga mendapati dokumen yang diserahkan kepada bank untuk pinjaman disediakan oleh tertuduh kedua (Redzuan) tanpa penglibatan responden (Ahmad Kamal),” kata hakim itu.

Mohamad Shariff berkata Ahmad Kamal, yang memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen memaklumkan bahawa dia membuat pinjaman itu bagi memulakan perniagaan kedai dobi dan tidak pernah meminta Redzuan menyediakan sebarang dokumen untuk tujuan pinjaman sebaliknya memintanya menguruskan pinjaman sahaja.

Ahmad Kamal, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding diwakili peguam Ben George.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Kamal dan Redzuan didakwa bersama-sama memperdayakan pihak Agrobank menerusi Zamakhsyari Omar sehingga mempercayai bahawa dokumen permohonan pinjaman jenis Agro Cash-i yang dikemukakan adalah tulen.

Perbuatan itu mendorong pihak bank menyerahkan wang sebanyak RM75,000 ke dalam akaun Ahmad Kamal yang mana pihak bank tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Agrobank Cawangan Bandar Tasik Selatan, Cheras pada 1 tengah hari, 5 Feb 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");