Sukan Hari Ini

Atletico tekad hapus igauan memori Lisbon

Barcelona: Dua tahun selepas kekalahan mereka di tangan Real Madrid pada final Liga Juara-Juara, Atletico Madrid kembali ke pentas sama menentang lawan sama, lebih berazam untuk tidak dihantui memori Lisbon.

Tandukan penyamaan Sergio Ramos pada minit ke-93 pada 2014 meranapkan impian mereka meraih kejuaraan Piala Eropah sulung dan Atletico diatasi 4-1 selepas masa tambahan. Keletihan berikutan musim yang padat akhirnya memakan diri.

Tujuh hari sebelum final itu, Atletico seri 1-1 dengan Barcelona dalam perlawanan getir bagi merangkul kejuaraan La Liga pertama mereka dalam tempoh 18 tahun dan majlis keraian berterusan hingga ke minggu berikutnya. Real mempunyai satu minggu tambahan untuk bersedia.

“Apabila mereka menyamakan kedudukan, kami sedar amat sukar buat kami kerana keadaan fizikal tidak mengizinkan dan kami pasti bergelut,” kata kapten Atletico Gabi. “Real pasukan yang lebih bagus pada masa tambahan.”

Penjaring terbanyak Atletico Diego Costa terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring selepas sembilan minit, memaksa ketua jurulatih Diego Simeone melakukan pertukaran awal. Tonggak tengah Arda Turan tidak pulih tepat pada masanya daripada kecederaan.

Keadaan fizikal Atletico ketika itu berbeza dengan keadaan mereka kini menjelang final awal pagi Ahad ini. Simeone boleh memanggil skuad utamanya.

Real juga berjaya mengelakkan kecederaan kecuali pertahanan Raphael Varane. Namun Atletico mempunyai seminggu tambahan rehat selepas pasukan itu terkeluar daripada persaingan kejuaraan liga apabila mereka tewas kepada Levante pada perlawanan penentuan.

“Kami kini dalam keadaan lebih bagus, kami lebih bersedia dan ramai yang tahu bagaimana rasanya bermain pada final Liga Juara-Juara,” ujar Gabi, seorang daripada enam pemain skuad final 2014 yang masih kekal di kelab itu.

“Anda tidak boleh memadam memori kalah final Liga Juara-Juara,” katanya. “Tapi kami memiliki peluang untuk bermain satu lagi final dan mencatat sejarah buat kelab.” – Reuters/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");