Sukan Hari Ini

Ikrar baiki kelemahan diri

SELEPAS gagal membantu negara mengakhiri penantian 24 tahun untuk menjulang Piala Thomas, minggu lalu, pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kini mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia yang akan berlangsung di Jakarta, hari ini.

Iskandar menganggap saingan Piala Thomas yang lalu sebagai permulaan baik untuknya kembali beraksi cemerlang nanti.

Katanya, walaupun harapan negara musnah, namun beliau gembira dengan prestasinya yang dianggap semakin baik di gelanggang.

“Saya harap dapat bersedia mental untuk itu. Saya perlu tingkatkan prestasi, banyak aspek perlu diperbaiki seperti kepantasan dan ketahanan.

“Perjalanan saya masih lagi jauh, saya perlu berlatih lebih kuat dan memperbaiki permainan saya,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, beliau meletakkan sasaran sekurang-kurangnya suku akhir pada kejohanan tersebut.

“Tekanan merupakan pengajaran paling penting yang telah saya pelajari dalam saingan Piala Thomas kali ini.

“Jadi, pada kejohanan akan datang, saya perlu atasinya dan cuba bertenang ketika di gelanggang.

“Insya-ALLAH, saya akan cuba melakukan yang terbaik nanti,” katanya.

Berdasarkan undian, Iskandar akan beraksi di pusingan kelayakan menentang pemain Estonia, Raul Must.

Andai menang, beliau dijangka bertemu pemain Singapura atau Indonesia sebelum mara ke undian utama.

Sedia ganti Chong Wei

Dalam pada itu, Iskandar berkata, beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai perseorangan utama negara andai Datuk Lee Chong Wei bersara kelak.

Iskandar membuktikan reputasi sebagai bintang meningkat naik bukan omong kosong apabila menyerlahkan kemampuannya mendukung misi negara dalam Piala Thomas.

“Saya akan pikul tanggungjawab itu sebaik mungkin andai diberi kepercayaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Tetapi saya perlu mempamerkan aksi luar biasa jika mahu meneruskan momentum itu.

“Prestasi ini memang perkara baik dan menambah keyakinan saya. Apa pun, saya harap kekal konsisten,” tambahnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");