Sukan Hari Ini

‘Menang bukan kerana Misbun’

Putrajaya: “Ia bukan satu isu, mereka tidak berlatih di sana, tapi hanya meluangkan masa beberapa hari bersama di Kelab Badminton Nusa Mahsuri. Saya fikir ada pihak yang cuba memperbesarkan isu ini.

“Pasukan Denmark datang ke negara kita untuk menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dan mereka sempat meluangkan masa beberapa hari bersama Misbun.

“Jadi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya berkata mereka dilatih Misbun hanya kerana dilihat meluangkan masa berlatih bersama,” jelas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media berhubung pasukan badminton Denmark yang dikatakan mendapat sentuhan bekas jurulatih negara Datuk Misbun Sidek, sekali gus menyumbang kepada kemenangan pasukan itu menjulang Piala Thomas buat pertama kali.

Khairy berkata, pasukan itu bebas untuk berlatih dengan sesiapa saja yang diingini dan ia bukan menjadi kesalahan.

Malah, beliau menegaskan, latihan itu tidak boleh dijadikan alasan pasukan Denmark berjaya memenangi Piala Thomas tahun ini.

“Itu mengarut. Pasukan kita sudah berlatih sejak lebih setahun lalu dan mereka (Denmark) menang kejohanan itu hanya dengan berlatih bersama Misbun dalam tempoh beberapa hari?

“Lagipun, Nusa Mahsuri kelab badminton persendirian dan mereka boleh melatih sesiapa saja,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kumpulan DRB-HICOM bagi menjalankan Program Penyediaan Tenaga Kerja Mahir IKBN-DRB-HICOM di sini, semalam.

Khairy turut menjelaskan pemain perseorangan negara termasuk Chong Wei Feng, serta beregu lelaki negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong juga dilatih di bawah kelab persendirian yang berada di luar struktur Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ditanya sama ada gembira dengan prestasi pasukan badminton negara, beliau mengakui agak kecewa kerana pada peringkat awal Malaysia mempunyai peluang cerah memenangi kejohanan itu.

Sehubungan itu, katanya, pasukan badminton negara akan dirombak untuk memberi peluang kepada muka baru menyertai kejohanan akan datang.

“Saya sudah bercakap dengan Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen sebelum berlepas di China (berhubung cadangan itu). Morten turut memaklumkan pasukan sedia ada ketika ini yang terakhir beraksi dalam kejohanan besar.

“Ramai pemain seperti Wei Feng, Keng Kiat dan Boon Heong tidak akan beraksi lagi selepas ini.

“Chong Wei juga mungkin tidak bermain lagi, yang tinggal mungkin Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

“Kita kena cari lagi dua perseorangan dan satu beregu, malah BAM turut maklum mengenai perkara ini,” katanya.

Menurutnya, kenyataan beliau mengenai khidmat Chong Wei masih diperlukan untuk menghadapi Piala Thomas 2018 adalah lebih kepada ‘pilihan taktikal’ dan bukannya satu kemestian.

“Saya hanya menyebut sebagai satu kemungkinan pilihan taktikal. Saya tidak berkata mahukannya, tapi ia lebih kepada kemungkinan pilihan taktikal. Mungkin sebagai perseorangan ketiga jika diperlukan, itu saja,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");