Jenayah

Pemilik lori nekad kejar penyamun

REMBAU: Hasrat seorang lelaki melarikan sebuah lori kecundang apabila niatnya itu disedari pemilik lori yang bertindak nekad mengejar penyamun berkenaan dalam kejadian di Kampung Batu ¼, Pedas Tengah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pemilik lori berusia 40 tahun itu segera keluar memeriksa lorinya di luar rumah sebaik terdengar enjin lori dihidupkan dan terkejut apabila seorang lelaki melompat keluar dari lori berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, pemilik lori berkenaan nekad mengejar penyamun tersebut dan dalam masa yang sama sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota dari Balai Polis Pedas sedang membuat rondaan di Kampung Batu 1, Pedas.

“Polis ternampak mangsa sedang mengejar seseorang dan segera bertanyakan kepada mangsa. Mangsa menyatakan ada lelaki cuba mencuri lorinya dan pasukan polis segera mengejar suspek berusia 20 tahun itu serta menangkapnya.

“Sebaik suspek ditangkap, polis menjumpai sekeping kad Touch N Go di dalam poket seluar yang mana kad berkenaan diambil dari dalam lori yang cuba dicurinya. Hasil siasatan ke atas lelaki berkenaan berjaya membawa kepada penangkapan tiga lagi rakan suspek berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun yang berada kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian sekitar jam 6.45 pagi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ibrahim berkata, pasukan polis pergi ke lokasi dimaksudkan dan ternampak sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih lalu cuba mendekati kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, pemandu kenderaan cuba memecut dan melanggar bahagian hadapan van pasukan walaupun pegawai penyiasat memperkenalkan diri dengan menjerit nama polis sebanyak tiga kali.

“Suspek enggan beri kerjasama dan melanggar seorang anggota sehingga mengalami kecederaan di lutut kiri. Polis berjaya mengawal keadaan dan mematikan enjin dengan mencabut kunci kereta suspek. Bagaimanapun, berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat sehingga dua anggota cedera di tangan.

“Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek dan kereta, polis menjumpai, empat anak kunci, satu kunci rumah, dua batang kekunci L yang ditajamkan pada bahagian hujung, sebatang pengikir besi, enam batang pemutar skru, tiga batang spanar, satu playar, satu gergaji besi.

Ibrahim berkata, susulan itu, kesemua barang kes termasuk kereta jenis Toyota Vios berkenaan dirampas.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap tiga daripadanya beralamat di Kuala Lumpur dan seorang di Perak kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang dibacakan bersama Seksyen 511 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");