Isu Panas

Perkasa bidas Tun M isu anti-Najib

KUALA TERENGGANU – Kenyataan Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau bukan anti–Umno sebaliknya mengakui anti-Najib dipersoalkan dan disifatkan seolah-olah berdalih dari kenyataan sebenar.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, apabila seseorang itu mengakui anti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, secara tidak langsung dia sebenarnya anti-Umno.

Menurutnya, ini kerana Najib dipilih oleh perwakilan Umno sebagai Presiden Umno yang bertanggungjawab mencorak dan menjadi tonggak kepada masa depan parti Melayu itu.

“Presiden Umno sekarang adalah Datuk Seri Najib. Apabila tonggak diserang, maknanya dia anti-Najib tetapi siapa yang lantik Najib? Yang lantik Najib adalah ahli-ahli Umno.

“Ketika zaman Mahathir dulu 2,000 perwakilan sahaja yang membuat pemilihan bagi menentukan barisan kepimpinan Umno tetapi betapa terbukanya Najib kerana beliau melakukan pemilihan secara terbuka dan pemilihannya sebagai presiden ditentukan oleh perwakilan yang ramai sehingga ke peringkat cawangan.

“Kalau Tun Mahathir anti-Najib, kenapa kutuk Umno dan rela sepentas dengan pembangkang, musuh Umno? Rela berpakat dengan musuh, dengan Lim Kit Siang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu berkata, jika Mahathir sayangkan Umno, beliau tidak sesekali berpakat dengan musuh politik dan tidak sesekali menyerang parti dari luar tetapi menggunakan saluran dalam parti.

Beliau sendiri tidak faham dengan sikap bekas Perdana Menteri keempat itu kerana sebagai pemimpin yang telah membina empayar selama 22 tahun di negara ini, Mahathir seolah-olah cuba memusnahkan apa yang telah dibina melalui kesinambungan yang diteruskan oleh pemimpin Umno ketika ini.

“Selama 22 tahun beliau bina empayar tetapi seolah-olah beliau lontarkan bom ke arah empayar yang dibina itu.

“Sepatutnya beliau sama-sama memastikan matlamat wawasan 2020 tercapai. Dengan tindakannya ini, adakah wawasan itu akan tercapai? Lagipun sehingga sekarang pemimpin masih membawa bersama-sama wawasan 2020 yang dicetuskannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan bahawa Mahathir mungkin mempunyai masalah peribadi dengan Najib tidak seharusnya menggelapkan masa depan dengan tindakan di luar jangka itu.

Jelasnya, sebagai tokoh pemimpin negara, Mahathir sepatutnya tidak memanjangkan masalah yang berlaku itu dengan cara bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini di samping menghormati kepimpinan sedia ada ketika ini.

“Kalau disebabkan isu 1MDB, sebagai syarikat pelaburan sudah tentu ia ada untung dan rugi di samping pelaburan juga memakan masa yang lama. Kalau dilihat ketika zaman Mahathir dahulu pun wujud isu-isu Perwaja Steel dan Empangan Bakun. Bagaimana hasilnya? Apa yang penting, Mahathir perlu sedar bahawa beliau tidak diterima dalam PKR dan DAP,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");