Panasnya Hari Ini

DAP Dakwa Pengundi Sarawak Disogok Wang Hingga RM2,000

KUALA LUMPUR : Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa ada antara pengundi di Sarawak ditawarkan wang sehingga RM2,000 seorang.

Ujarnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih terus mengambil pendekatan ‘tidak nampak, tidak dengar dan membisu’ dalam tempoh berkempen yang tinggal dua hari itu termasuklah yang melibatkan politik wang dan ugutan terhadap calon DAP,

“Pengundi ambil sahaja apa yang diberikan, tetapi hendaklah undi untuk ubah dan demi generasi akan datang,”kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, lapor Malaysiakini.

Ujarnya lagi, menteri-menteri Persekutuan dan negeri juga didakwa turut melanggar peraturan pilihan raya dengan mengumumkan peruntukan dan kelulusan pembangunan projek dan SPR langsung tidak menggerakkan sebarang usaha dalam memastikan pilihan raya negeri itu dijalankan secara adil, bebas dan bersih.

“Oleh itu, saya menyimpulkan bahawa SPR telah gagal menjalankan tugasnya untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil, bersih dan demokratik.

Terdahulu, BERSIH telah mengenalpasti 11 dakwaan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh pemimpin politik yang didakwa turut melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan empat lagi calon daripada kedua-dua belah pihak.

Antara dakwaan tersebut ialah dakwaan rasuah pilihan raya, dakwaan penyalahgunaan harta kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi bertanding dalam pilihan raya dan meletakkan bahan kempen dalam jarak 50 meter dari tempat mengundi.

Selain itu, kumpulan itu turut mendakwa terdapat calon berjanji untuk memberikan setiap penduduk RM500 sebelum pilihan raya dan RM200 lagi selepas pilihan raya sekiranya calon itu menang dan dilihat memberi sampul kepada penduduk rumah panjang yang terbakar dipercayai mengandungi wang.

Pemimpin DAP itu turut menyatakan kebimbangan parti itu yang tidak boleh bersaing dengan baik dalam pilihan raya negeri Sarawak jika politik wang menjadi faktor penentu.

“Jika pilihan raya Sarawak pada 7 Mei akan diputuskan oleh kuasa wang, ia akan menjadi bencana bagi DAP Sarawak,”jelas beliau.

Lim turut berkata, DAP juga meragui sama ada pasukan Adenan atau pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Ujarnya lagi, antara sebab keraguan itu antaranya ialah Najib telah mengadakan mesyuarat Kabinet di Sarawak yang kononnya sebagai tanda sokongan kepada Adenan tetapi dalam masa yang sama telah menolak permintaan BN Sarawak untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak.

“Kenapa Najib tidak menunggu sehingga 7 Mei untuk memberi berita buruk sedemikian kepada rakyat Sarawak?

“Apakah kini akhirnya terbukti bukan pasukan Adenan dan cara Adenan, tetapi pasukan Najib dan cara Najib,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");