Berita Hari Ini

Hujah Pas tentang hiburan barat

SHAH ALAM – Pemuda Pas, mempertegaskan bantahan terhadap penganjuran konsert hiburan oleh artis barat khususnya artis wanita.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penganjuran konsert sebegitu ternyata menjadi antara punca utama penyebaran budaya hedonisme dan keruntuhan moral di kalangan anak muda Muslim di dalam negara ini.

Katanya lagi, bantahan itu bukan bermakna Pas menyekat hak masyarakat bukan Islam untuk berhibur dengan cara dan jalan yang mereka pilih dan mahukan.

“Hiburan untuk umat Islam, walaupun ada persamaan, tetapi tetap ada perbezaan yang nyata daripada hiburan untuk masyarakat bukan Islam.

“Pas tidak akan menghalang apa jua penganjuran atau apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Islam sama ada dilakukan oleh umat Islam atau bukan Islam.

“Di dalam Islam, hiburan adalah harus. Apa saja hiburan yang menggembirakan manusia dan merehatkan mereka, Islam membenarkan. Hadnya adalah apabila ianya melalaikan umat Islam daripada mengingati ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Abduh berkata, menerusi penilaiannya tiada satu pun nilai baik yang boleh dipetik dan diambil daripada konsert hiburan yang diimport dari barat kecuali sedikit yang boleh sahaja diperolehi melalui cara lain yang dibenarkan oleh agama.

“Selebihnya adalah nilai dan budaya hedonisme yang ditolak oleh agama, bahkan secara jelas dan terbukti menjadi senjata dunia barat yang memusuhi Islam untuk melalaikan umat Islam, terutama anak mudanya daripada agama dan kewajiban untuk kembali kepada agama Islam yang murni dan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Oleh itu, ujarnya, Pemuda Pas menuntut dan menyeru seluruh umat Islam untuk terus dan konsisten, tanpa rasa ragu, takut dan hina untuk terus membantah penganjuran konsert hiburan oleh artis barat dan luar negara yang sengaja ditujukan bagi menarik umat Islam untuk bersama menghadiri dan menyertainya.

“Pihak kerajaan, sama ada pusat atau negeri, daripada parti BN atau sebaliknya hendaklah dikecam dan dibebankan dengan tanggungjawab yang besar di atas segala kerosakan yang telah, sedang akan akan terus berlaku terhadap anak muda Islam yang terus lali dan lalai daripada tanggungjawab kembali kepada agama,” katanya.

Terdahulu, Pas membantah kedatangan Selena Gomez ke Malaysia, kerana beranggapan ia mencemar kemuliaan Syawal.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");