Sukan Hari Ini

Pandelela mahu fokus pelajaran

Petaling Jaya: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg mahu berehat seketika untuk kembali memberi tumpuan terhadap pelajarannya yang sebelum ini tertangguh kerana Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Menurut Pandelela, sudah tiba masa untuknya memberi fokus terhadap pelajaran selepas berakhirnya Sukan Olimpik.

“Sebelum ini saya pernah berjanji kepada keluarga untuk tidak mengenepikan pelajaran. Jadi selepas berakhirnya Olimpik Rio, sudah masanya untuk fokus kepada pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan wira dan wirati Olimpik negara oleh XOX Mobile di sini, semalam.

Pandelela juga dikatakan tidak akan beraksi dalam beberapa pertandingan yang bakal diadakan dalam masa terdekat, antaranya Kejohanan Siri Grand Prix Terjun FINA di Kuching, Sarawak pada Oktober ini.

Dia yang berganding dengan Cheong Jun Hoong untuk memenangi perak acara 10m platform seirama di Rio, mengambil jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya dan berazam menamatkan pengajiannya pada 2018.

Sementara itu, pasangannya Jun Hoong pula ingin berehat untuk memulihkan kecederaannya.

“Saya ingin merehatkan badan kerana mengalami kecederaan. Walaupun tidak begitu serius, ia penting sebelum memulakan latihan,” katanya.

Jun Hoong mengakui memegang status sebagai pemenang perak di Rio tidak memberikan apa-apa kelebihan kepadanya pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo nanti.

“Olimpik Tokyo adalah kejohanan baharu kerana setiap pertandingan bakal mempunyai cabaran dan halangan berlainan,” katanya.
– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");