Isu Panas

Amanah tidak boleh bersendirian

KOTA BHARU – Parti Amanah mengakui tidak boleh bersendirian sebaliknya mengharapkan rakan baharu Bersatu untuk turut sama menyertai Pakatan Harapan bagi mengukuhkan lagi blok pembangkang.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, dalam perkembangan yang berlaku, keperluan untuk kukuhkan Pakatan Harapan terdiri daripada Amanah, DAP dan PKR amat penting.

“Kita juga berharap rakan baharu Bersatu agar lebih cepat bersama kita, formulanya cukup mudah, kita sedang berbincang di peringkat tertinggi dalam Pakatan Harapan untuk ke arah capai satu cadangan penyelesaian di antara parti pembangkang.

“Mana-mana parti pembangkang yang anggap BN sebagai musuh, kita guna konsep satu lawan satu, dan jika ada parti yang rasakan tidak bersama pembangkang dan duduk di sebelah BN, walaupun mereka tak isytihar bersama (BN), rakyat akan faham.

“Di Kelantan, Amanah lebih sukakan tiga penjuru, itu sahaja bahasa mudah yang Pas akan faham,” katanya pada sidang media Program Flay off Bersih 5.0, di sini, semalam.

Turut serta, Pengerusi Amanah negeri, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah; Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Kadir dan mewakili DAP negeri, Irene Tan.

Sementara itu, beliau berkata, himpunan Bersih 5.0 yang akan diadakan Oktober depan adalah penting untuk rakyat menunjukkan sikap mereka terhadap beberapa isu sedang berlaku dalam negara.

Menurutnya, ia bermatlamat mencapai objektif ke arah pilihan raya bersih dan adil ketika negara sedang berdepan isu persempadanan semula, yang menjadi satu polemik dan menimbulkan perbahasan yang cukup kritikal.

“Persempadanan semula memang dari segi hakikatnya untuk memenangkan BN, maka perjuangan ini harus kita angkat kepada satu peringkat paling tinggi, di mana kita harapkan penyertaan semua lapisan masyarakat.

“Kita akan pastikan Bersih 5.0 berlaku dengan cara demokratik berperlembagaan dan hindari sebarang bentuk keganasan ataupun tindakan di luar batas undang-undang negara,” katanya.

Beliau berharap rakyat keluar menyatakan sokongan tanpa bimbang untuk berhimpun bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa masyarakat sentiasa peka khususnya berkaitan isu semasa.

“Kita akan gerakkan seluruh kekuatan Amanah dan kali ini mungkin Bersih 5.0 akan mencapai sejuta himpunan rakyat,” katanya.

Salahudin turut menafikan Bersih 5.0 himpunan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak berperlembagaan.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali,” tegasnya.

Mengenai perjalanan Amanah setahun selepas ditubuhkan, katanya, sehingga bulan lalu parti itu berjaya daftar kira-kira 80,000 keahlian.

“Daripada 222 kawasan parlimen yang ada kita sudah tubuhkan 156, ini bermakna dah hampir 70 peratus selesai, sebahagian Sabah dan Sarawak mungkin Amanah tidak fokus mungkin lebih sesuai dengan parti di sana, di peringkat semenanjung dan 90 peratus,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");