Isu Panas

Kenapa diam isu Haron Din?

MACHANG – Tindakan pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang yang mengambil sikap berkecuali dan berdiam diri atas kenyataan biadab pemimpin DAP yang menghina pemergian bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, dipertikaikan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu jelas menunjukkan mereka berjaya diperalatkan DAP dalam usaha memecahbelahkan orang Melayu.

“Banyak laporan polis dibuat Pas, Umno, NGO dan sebagainya, tetapi kita tak dengar satu kenyataan pun daripada pemimpin Melayu pembangkang yang lain.

“Adakah mereka takut kepada DAP? Tindakan berdiam diri itu jelas membuktikan mereka berjaya diperalatkan DAP. Jika dulu kita ada empat parti membabitkan orang Melayu, sekarang dah tambah dua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun atau lebih dikenali sebagai Jeff Ooi yang memuat naik kenyataan berbunyi ‘Adios Haron Din. Let there be peace’ menerusi akaun Twitter peribadinya sebagai ucapan takziah atas pemergian Mursyidul Am Pas itu.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Machang yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Hanafi Mamat serta Ketua Wanita Umno Kelantan, Senator Datin Rahimah Mohamed.

Ismail Sabri juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut mengucapkan tahniah kepada PDRM yang bertindak tegas dengan memanggil Jeff Ooi untuk beri keterangan berhubung kenyataan itu.

Katanya, tindakan itu tepat pada masa bagi mengelakkan perkara lebih buruk terutama melibatkan keselamatan dan keharmonian negara.

“Kalau tak ada tindakan, saya bimbang perkara ini boleh mengancam keselamatan negara dengan mencetuskan kemarahan umat Islam.

“Mereka (pembangkang) tak boleh mengambil ringan mengenai perasaan orang Melayu dan Islam dalam negara ini. Mereka tak boleh sesuka hati menghina atau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan melibatkan agama. Jika dibiarkan, sesuatu yang buruk boleh berlaku,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");