Membawang Hari Ini

MACP cari pelapis

Program Cipta Ekspres (CE) anjuran Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) tidak pernah gagal membawa matlamat melahirkan lagu berkualiti.

Baik susunan muzik mahupun lirik, program yang diadakan setiap tahun ini bukan sahaja memberi peluang komposer dan penulis lirik memerah idea dalam masa singkat, tetapi membolehkan mereka menghasilkan karya untuk diketengahkan ke pasaran komersial.

Jika tahun lalu CE diadakan di Kuala Linggi, Melaka, berbeza tahun ini apabila CE2016 berlangsung di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam bermula pada 23 sehingga 26 September lalu.

Buat julung kalinya juga program ini menjalin kerjasama dengan Fakulti Muzik Univesiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam misi melahirkan pelapis komposer dan penulis lirik sedia ada.

Pengerusi MACP dan Malam Cipta Ekspres Habsah Hassan berkata, pemilihan UiTM adalah pembuka kepada kerjasama CE dengan institusi pengajian awam dan swasta lain selepas ini.

“Selepas lebih sedekad penganjurannya sudah sampai masa MACP mencari pelapis dalam bidang ini. Walaupun ia satu usaha baru, saya yakin program ini dapat menarik minat fakulti muzik IPT awam dan swasta untuk berkolaborasi.

“Saya percaya ramai pelajar berbakat dalam penghasilan lagu dan penulisan lirik. Bagi saya ini peluang yang bagus untuk mereka mengetengahkan bakat. Bukan senang menghimpunkan nama besar dalam program sebegini,” katanya.

Sambung Habsah, harapannya tetap sama seperti penganjuran terdahulu iaitu setiap karya dapat dipasarkan kepada penerbit album dan dirakamkan penyanyi.

Meskipun 10 lagu yang dicipta dalam program itu mengikut kehendak pasaran muzik masa kini, Habsah masih menekankan aspek kualiti.

“Diakui semua lagu yang dihasilkan menepati cita rasa anak muda zaman sekarang. Namun, saya ada memberikan taklimat kepada peserta agar lagu yang dihasilkan mestilah berkualiti dan malar segar.

“Kita ada banyak lagu popular, tetapi sambutan diterima sekejap sahaja. Disebabkan itu program ini memberikan peserta formula agar lagu dan lirik yang dihasilkan dapat bertahan lama.

“Perkara ini penting untuk royalti mereka sekiranya lagu yang dicipta menjadi pilihan syarikat rakaman dan penerbit album. Memandangkan ini percubaan pertama mereka, jadi saya tak boleh menjangkakan sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Pada malam persembahan CE2016, 10 lagu diperdengarkan dan lagu berjudul Raut ciptaan Amir Suhaimi dengan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya dipilih lagu terbaik.

Program ini turut disertai Hanis Nurlina Azam dan Adi 6ixth Sense yang menghasilkan lagu Habis Rasa, Nor Farahein dan Zizie Kirana (Selamat Tinggal), Aziem Rashidi dan Ad Samad (Tergores), Suffren Ghafar dan Dilyla Khalid (Bahagia) serta Hakim Kamal dan Ana Raffali (Belum Sempat).

Selain itu Azhad Sulaiman dan Fedtri Yahya (Seindah Dia), Alaa’ Farhan dan Adi 6ixth Sense (Redup), Amirul Hamid dan Ad Samad (Aku Bermohon) serta Farhan Anuar dan Ana Raffali (Halimunan).

Setiap kumpulan diwakili barisan mentor yang terdiri daripada komposer dan penulis lirik ternama tanah air seperti Aidit Alfian, S Atan, Pacai, DJ Fuzz dan Taja.

Sementara penulis lirik pula terbuka kepada ahli MACP. Antara yang terbabit seperti Zizie Kirana, Ahmad Fedtri Yahya, Ana Raffali, Ad Samad, Adi 6ixth Sense dan Dilyla Khalid.

Untuk rekod, lagu seperti Kalau Aku Kaya nyanyian Awi Rafael dan Altimet, Kalau Berpacaran (Ana Raffali dan Sohaimi Mior Hassan), Membunuh Benci, Sanubari dan Mula dan Akhir (Datuk Siti Nurhaliza) antara yang dicipta menerusi penganjuran terdahulu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");