Perak Hari Ini

Perlu Amanah Laksana Tugas- Sultan Perak

IPOH:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa tugas wajib yang telah diamanahkan kepada semua pihak terutamanya pihak penguatkuasa agama perlu dilaksanakan dan dipenuhi sebaik mungkin selain melaksanakan hukum secara adil.

Titah baginda sejarah telah membuktikan, sama ada organisasi, institusi, urusniaga mahupun negara, jika amanah dipertanggungjawabkan kepada mereka yang bukan ahli, berlakulah kekecohan yang akan berakhir dengan kemusnahan.

“Malah sejarah turut membuktikan, jika sekalipun amanah dipertanggungjawabkan kepada mereka yang ahli dalam bidang tertentu, tetapi apabila hukum disisihkan dan keadilan dipinggirkan, akan terjejaslah keharmonian insan dan ketenteraman awam, mengakibatkan organisasi, institusi, urusniaga mahupun negara berakhir dengan kehancuran.

“Para pendukung amanah, wajib diserahkan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya, menghormati hukum dan melaksanakan hukum secara adil pada setiap masa, tanpa memilih kasih tanpa berasa gentar,” titah baginda.

Titah baginda tugas wajib perlu disempurnakan secara berhemah, terutama, kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa.

“Perbuatan para pegawai penguatkuasaan, memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam.

“Tindakan secara kasar dan keras, yang merendah-rendah dan memperkecilkan, hingga mengakibatkan orang merasa terhina, dizalimi dan diaibkan, baik secara lisan apatah lagi secara perbuatan, tidak harus berlaku dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pegawai penguatkuasaan agama,” baginda bertitah demikian dalam Majlis pelancaran logo Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAJLIS) dan Pelan Strategik MAJLIS untuk tempoh lima tahun akan datang.

perak-today-2

Titah baginda lagi, pegawai-pegawai penguatkuasaan agama terutamanya berada di barisan hadapan dan terdedah kepada penilaian umum.

Malah keindahan Islam itu titah Baginda perlu dicerminkan dengan sifat-sifat berhemah ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi iaitu dengan mengamalkan pendekatan berdakwah, untuk menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak yang melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup, mengaturkan sesi bimbingan dan kaunseling.

“Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif dan bukannya pendekatan punitif.

“Ahli-ahli MAJLIS hendaklah berwaspada, peka dan cerdas untuk membaca dan mentafsir dinamik yang berlaku, serta sedia melakukan pengubahsuaian kepada strategi yang telah diperkenankan ini, selaras dengan perkembangan dan perubahan, senario semasa dunia dan negara,” titah Baginda.

perak-today-4

Titah Baginda lagi, pembinaan imej dan reputasi serta membina persepsi positif masyarakat terhadap MAJLIS, adalah komponen yang amat perlu diberikan perhatian.

“Amatlah silap, jika organisasi bersikap pasif dan berandaian bahawa masyarakat akan dapat memahami niat baik yang mahu mereka laksanakan.

“Amalan yang kurang bersifat anticipative, amalan yang tidak proaktif, atau amalan yang lebih cenderung bersifat defensif, selepas berlakunya sesuatu kesalahfahaman, sudah tidak sesuai lagi.

“Era ini adalah era yang menuntut pengurusan mengamalkan budaya ketelusan dan keterbukaan maklumat,” titah baginda.

Terdahulu Baginda turut berkenan melancarkan logo Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAJLIS) dan Pelan Strategik MAJLIS untuk tempoh lima tahun akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");