Membawang Hari Ini

Tasha Manshahar terap pendekatan psikologi dekati pelajar

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tasha Manshahar mempraktikkan pendekatan psikologi dengan mengamati dan memahami keperluan setiap pelajar di dalam kelas untuk memastikan teknik pengajarannya berkesan.

Tasha berkata, kaedah yang diterapkan sejak mula menjadi pendidik, beberapa bulan lalu memudahkan dirinya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, selain terbukti membantu meningkatkan prestasi pelajar.

Pemilik nama sebenar, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 23, itu mengakui lebih selesa mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pelajar, selain ia bersesuaian dengan perkembangan psikologi mereka sebagai remaja.

“Alhamdulillah, tugas mengajar menjadi lebih mudah berbanding beberapa bulan pertama ketika memulakan kerjaya sebagai guru. Secara peribadi, saya guru yang tegas terutama dalam membentuk disiplin dan peribadi pelajar. Setakat ini, pelajar menerima pendekatan dan cara saya.

“Seboleh mungkin, saya mengelak daripada mendenda atau menggunakan kekerasan kerana ia akan memberi kesan kepada psikologi pelajar. Disebabkan itu, saya selesa menjadi sahabat tetapi pada masa sama, saya juga tegas supaya mereka memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing,” katanya.

Biarpun semakin selesa dengan tugas baharunya itu, Tasha yang kini mengajar di sebuah sekolah di Melaka tidak pernah mengabaikan bidang nyanyian.

Tasha berkata, kerjaya sebagai penyanyi tetap mempunyai tempat istimewa di hatinya, malah sentiasa berusaha menguruskan jadual dan membahagikan masa dengan baik.

“Sejak belajar lagi, saya cuba mengimbangi antara pelajaran dan minat terhadap nyanyian. Bezanya, kini saya lebih sibuk kerana bukan saja mengajar malah turut melakukan beberapa tugasan lain.

“Setakat ini, saya tiada masalah kerana promosi single kebiasaannya dilakukan pada hujung minggu. Penat sedikit kerana masa untuk berehat terbatas, tetapi saya berpuas hati dengan hasilnya,” kata Tasha.

Tasha mula menyinari dunia seni suara selepas menjadi sebutan di laman sosial, YouTube apabila memuat naik rakaman video lagu, Be Mine dan Mr Saxobeat yang dinyanyikannya semula sekitar awal tahun 2012.

Tasha juga baru menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur, tahun lalu.

Populariti penyanyi yang mengukuhkan namanya menerusi lagu Ragu-Ragu itu juga terbukti apabila dilantik sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan, Himalaya selama setahun sejak Mei lalu.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");