Berita Hari Ini

Laporan Menjalankan Perniagaan 2017: Malaysia ke-23 dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai antara 25 negara paling berdaya saing dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017 apabila menduduki tempat ke-23 daripada 190 negara di dunia.

Ia menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN yang menduduki ranking kedua tertinggi dalam laporan yang menjadi penanda aras tertinggi global bagi mengukur tahap kecekapan sesebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan.

Tahun lalu, Malaysia berada di tempat ke-22. Di kedudukan ke-23, Malaysia mendahului beberapa negara lain seperti Switzerland (31), Perancis (29), Belanda (28), Emiriah Arab Bersatu (26), Jepun (34), Thailand (46), China (78) dan India (130).

Di dalam laporan yang dipertingkatkan dari segi kaedah penilaian itu, Malaysia meraih skor 78.11, berbanding 78.18 yang diraihnya tahun lalu.

Malaysia bersama Jepun dinilai sebagai negara yang mencatatkan prestasi terbaik dalam ‘Indeks Bekalan Berdaya Maju dan Tarif Telus’ di bawah petunjuk ‘Mendapatkan Elektrik’.

Tahun lalu, Malaysia juga dinilai salah sebuah negara yang mencatatkan prestasi terbaik di dalam indeks berkenaan.

Di samping itu, Malaysia juga diiktiraf menjadikan usaha membayar cukai lebih mudah dengan meningkatkan sistem elektronik bagi memfail serta membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Laporan itu juga mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu ekonomi dunia yang memperkenalkan biro atau pendaftar skor kredit sebagai satu perkhidmatan nilai tambah.

Menuju ke hadapan, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia yang membolehkan menjalankan perniagaan di negara ini lebih mudah.

Antara lain, PEMUDAH akan mengusahakan pelan komunikasi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi mempromosikan usaha dilaksanakan oleh kerajaan.

PEMUDAH juga akan menggerakkan ‘focus group’ atau kumpulan kerja untuk belajar daripada pakar tempatan dan antarabangsa bagi menambah baik kualiti kawal selia yang memberi impak terhadap kos, masa serta kualiti penyampaian.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");