Membawang Hari Ini

Vince rancang kembali aktif

HARI ini, media sosial adalah satu bentuk komunikasi penting kerana membolehkan penggunanya memberi maklum balas secara terbuka selain berkongsi maklumat.

Mengakui keberkesanannya, Vince Chong turut menyifatkan kemudahan teknologi seperti Youtube, Twitter, Facebook dan Instagram sebagai medium bermanfaat dalam membina kerjaya seninya.

Situasi itu menyebabkan ada pengikut media sosial yang menganggap pemilik nama sebenar, Vincent Chong Ying-Cern ini adalah bintang kelahiran YouTube.

“Media sosial jugalah yang menyebabkan saya masih terus diingati apatah lagi selama ini, saya selalu dilihat sepi dalam industri.

“Sebenarnya, saya kerap berkongsi mengenai perkembangan diri menerusi media sosial.

“Ada kalanya, saya akan memuat naik pelbagai video lucu.

“Bagi saya, media sosial merupakan platform yang bagus terutamanya kepada generasi muda hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Lima Calon Akhir Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM22), baru-baru ini.

Tidak berkecil hati, Juara Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini sebaliknya menyifatkan ia sebagai pembawa rezeki selain berpeluang mendekatkan diri dengan peminat.

“Saya tidak kisah dengan panggilan tersebut.

“Lagipun, kerana media sosial juga, saya terus menerima undangan menyanyi, berlakon dan mengacara di majlis.

“Jujurnya, saya sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk ‘cari makan’ dalam industri ini,” katanya.

Peluang kembali semula

Berbicara lanjut mengenai AIM22 pula, nama Vince tercalon bagi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi lagu Wonder.

Wonder dicipta oleh Aubrey Suwito manakala Lin Li Zhen berperanan sebagai penulis lirik.

Terkejut dengan keputusan itu, selebriti berusia 37 tahun ini bagaimanapun bersyukur dengan pencalonan tersebut.

“Aubrey yang hantar lagu itu ke AIM22 dan saya tidak sangka ia layak dipertandingkan sehingga ke peringkat ini.

“Lagipun, AIM ditangguhkan pada tahun lalu dan album untuk lagu tersebut pula dibuat pada tahun sebelumnya,” katanya.

Sebelum ini, Vince pernah muncul dengan single Hanya Kau tetapi entah di mana silapnya, lagu itu tidak diputarkan di stesen radio.

Enggan mengalah, suami kepada Fiona Edward ini mengakui tidak serik mencari material terbaik untuk lagu seterusnya.

“Tahun ini, saya mahu mencipta semula lagu-lagu Melayu.

“Namun, pada masa sama, saya masih mencari material yang sesuai dengan jiwa dan boleh memberi 1,001 makna.

“Kerana itu, saya tidak mahu terburu-buru mencari ilham. Saya yakin ia akan datang dengan sendirinya,” katanya sambil mengakui sudah bersedia untuk kembali merancakkan perjalanan karier nyanyiannya.

Selain menyanyi, Vince banyak terbabit dengan kerja di belakang tabir dan pernah menjayakan telefilem Baba Nyonya untuk TV3 sempena Tahun Baru Cina.

“Saya masih aktif dalam industri. Kini, aktiviti saya lebih kepada bidang teater muzikal.

“Selain menyanyi, saya memang berminat dalam bidang lakonan,” katanya.

Tubuh kelas latihan vokal

Dalam perkembangan lain, kini, Vince sibuk mengendalikan kelas latihan vokal, Vinner Voice yang diusahakan sejak Mac lalu.

Menurut bapa Eva Haidi ini, kelas itu bukan sahaja mengajar mengenai teknik nyanyian, tetapi juga asas lakonan serta bidang pengucapan awam.

“Hasrat untuk membuka kelas ini sudah lama.Lagipun, ramai minta saya ajar vokal.

“Namun, saya tidak mahu terburu-buru kerana menubuhkan kelas latihan vokal memerlukan persiapan rapi dan tidak boleh sembarangan,” katanya.

Sehingga hari ini, katanya lagi, Vinner Voice mempunyai 30 pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa.

“Apabila saya mengajar, secara tidak langsung saya juga akan belajar.

“Saya juga akan mengadakan sebuah bengkel khas pada November depan.

“Apa-apapun, saya akan berkongsi pengalaman saya selama 13 tahun dalam industri ini kepada masyarakat,” katanya yang pernah berpeluang menjayakan persembahan bersama komposer terkemuka antarabangsa, David Foster tahun lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");