Berita Hari Ini

Kerajaan kaji wujud pelan tindakan bersepadu

MELAKA – Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan pelan tindakan bersepadu bagi menyeragam aspek penguatkuasaan pelbagai agensi terlibat dalam menjaga kepentingan negara termasuk mengurangkan ketirisan kutipan hasil disebabkan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, pelan tindakan bersepadu berkenaan akan menyelaras dan mewujudkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan negara termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam pelbagai aspek antaranya tenaga kerja, strategi penguatkuasaan dan perlaksanaan.

Beliau berkata, ia bagi mengurangkan beban dan pertindihan kerja dalam aktiviti penguatkuasaan negara serta membentuk satu sistem bersepadu yang lebih efisien dan sistematik.

“Sekarang ini kita tidak boleh bekerja secara berseorangan atau satu agensi sahaja dalam menjaga keamanan negara kerana setiap jabatan atau agensi mempunyai

kekuatan masing-masing dan gabungan beberapa jabatan penguatkuasaan ini akan menjadikan usaha menjaga kepentingan negara menjadi lebih mampan.

“Namun terdapat beberapa perkara perlu dilihat secara terperinci yang menjadi kekangan untuk merealisasikan pelan tindakan bersepadu ini khasnya dalam aspek undang-undang dan akta kerana setiap jabatan adalah berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kolaborasi Agensi Penguatkuasaan di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Mengulas lanjut, Othman berkata, antara aspek yang telah dikenal pasti boleh dilaksanakan di bawah pelan tindakan bersepadu itu adalah penyelarasan data penguatkuasaan pelbagai agensi dalam satu sistem yang boleh diakses secara bersama.

“Penyelarasan data penguatkuasaan tersebut bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan barangan yang dibawa masuk ke negara ini tanpa cukai, penyeludupan minyak masak dan manusia melalui sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama yang bakal diwujudkan di bawah pelan tersebut dilihat dapat memperkukuhkan semangat dalam kalangan anggota penguatkuasaan terlibat menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menjadi garis panduan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, katanya pelan tindakan bersepadu itu juga diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pihak tidak bertanggungjawab yang sering mencari jalan bagi mengelak cukai dan melanggar undang-undang negara.

“Kita akan sentiasa mencari jalan untuk memastikan kumpulan berkenaan gerun

dengan langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan seterusnya dapat mengurang serta menghapuskan ketirisan hasil kutipan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seminar bertemakan ‘Memacu Keberhasilan Perkhidmatan Awam melalui Kecemerlangan Kepimpinan, Pemodenan Organisasi dan Kerjasama antara Agensi Pelaksana’ itu merupakan platform penting bagi mengenal pasti ruang serta peluang mentransformasikan kerjasama di bawah NBOS kepada kerjasama multilateral secara holistik antara agensi penguatkuasaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");