Sukan Hari Ini

Selamat tinggal FAS!

Kuala Lumpur: Bagi menyelamatkan kempen Liga Super mereka musim depan, PKNS FC bertindak berani apabila memutuskan untuk keluar daripada naungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan sebaliknya memilih bergabung dengan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS), bermula semalam.

PKNS yang dihimpit masalah susulan tindakan ‘kurang bijak’ FAS kerana menarik sokongan mereka untuk kelab itu beraksi dalam liga tempatan diberi tempoh sehingga Jumaat ini oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi mengesahkan penyertaan musim depan selepas tempoh sebenar berakhir 30 November lalu.

Selepas pelbagai usaha menjernihkan keadaan menemui jalan buntu, kelab berkenaan difahamkan terpaksa memilih pilihan terakhir itu bagi menyelesaikan isu pendaftaran mereka.

Menurut Presiden PBSMS Mohd Firdaus Mohamed, pihaknya sudah menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FMLLP bagi memaklumkan perkara berkenaan.

“Hasil mesyuarat yang berlangsung semalam (kelmarin) antara pengurusan tertinggi PBSMS dan PBSMM (Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia), kami bersetuju untuk mendaftarkan PKNS sebagai ahli gabungan.

“Malah hari ini (semalam), kami sudah mengusulkan surat rasmi mengenai perkara itu. Kami menyokong penuh penyertaan PKNS dalam Liga Super dan rasanya tiada sebab mengapa mereka tidak boleh beraksi dalam saingan liga elit itu musim depan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, penyertaan PKNS dalam kempen liga tempatan mula menjadi tanya tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu dengan menggunakan Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) iaitu, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.

Dipercayai, tindakan ‘tanpa angin dan ribut’ itu ada kaitan dengan keputusan Presiden FAS Datuk Seri Azmin Ali yang enggan menyalurkan peruntukan kepada pasukan Selangor untuk menghadapi saingan musim depan.

Ia sekali gus menyaksikan Exco FAS terpaksa menjadikan PKNS sebagai ‘kambing hitam’ bagi menarik perhatian presiden untuk menyelesaikan kemelut kewangan badan induk bola sepak negeri itu.

“Sepatutnya isu ‘politik’ harus diketepikan dan jangan menjadikan bola sepak sebagai mangsa. Pemain (PKNS) hanya hendak bermain bola dan apabila isu ini berlaku, kesian mereka.

“Kami harap FAM dan FMLLP akan terima permohonan itu, malah dari segi peraturan pertandingan rasanya tidak ada masalah,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");