Membawang Hari Ini

Komitmen Adam Cheman

PERCATURANNYA untuk terjun ke dunia lakonan memberi 1,001 makna tersendiri buat Mohamad Shahaadan Che Man atau nama komersialnya, Adam Cheman,26.

Meskipun beberapa tahun lalu dia mempunyai komitmen terhadap pengajian dan perniagaan keluarga, namun itu bukan jadi penghalang terbesar buat aktor muda kelahiran Jeli, Kelantan ini untuk terus memacu langkah bergaya dalam dunia lakonan yang menjadi kecintaannya kini.

Bermula dengan pelawaan daripada seorang teman untuk menghadiri uji bakat pencarian pelakon, kini Adam sudah boleh melirik senyuman lebar apabila dia mula mendapat tawaran berlakon di bawah produksi drama dan filem tempatan.

“Meskipun watak diterima bukanlah besar pada peringkat awalnya, namun setidak-tidaknya ia mencabar diri, keberanian seterusnya memberikan saya keyakinan untuk terus gigih berusaha selepas ini.

“Nama pun pelakon baru. Jadi mahu tak mahu, saya perlu rajin ke sesi uji bakat pencarian pelakon demi merealisasikan cita-cita,” katanya yang mengakui usia bukanlah penghalang buatnya untuk terus maju.

“Saya percaya pada rezeki. Memang ada persepsi untuk cepat popular sebagai pelakon, kamu perlu bermula pada usia muda. Tapi saya mahu tangkis pandangan tersebut kerana bagi saya tiada apa yang mustahil.

“Penonton sekarang juga sudah boleh menilai mana yang bagus dan sebaliknya. Tinggal lagi saya perlu asah bakat untuk memantapkan skil lakonan selepas ini.

“Tentunya juga, saya sudah pun tekad untuk berikan sepenuh komitmen terhadap apa yang saya lakukan sekarang.

“Jika dulu ia sedikit terbantut kerana komitmen pengajian, namun kini saya sudah punya masa ideal untuk melakukan apa yang diminati sejak sekian lama,” akui Adam yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Encik Suami Mat Salih untuk slot Dahlia TV3 di samping Nelydia Senrose.

“Jujurnya, saya anggap penerimaan saya untuk tampil dalam drama tersebut sebagai satu peluang terbesar dan pastinya, saya cuba untuk memberikan yang terbaik, biar pun ia hanya watak pembantu,” katanya yang memegang watak sebagai rakan baik Nelydia.

Kagum pelakon berkaliber

Ditanya siapakah aktor senior yang dikaguminya, Adam yang turut aktif dalam sukan bola sepak ini juga menyebut tiga nama pelakon muda hebat tanah air iaitu Sharnaz Ahmad, Izzue Islam dan Amar Baharin.

Baginya, ketiga-tiganya merupakan antara aktor muda yang cukup versatil dan berbakat besar.

“Saya suka melihat cara pembawaan dan lakonan mereka. Ada jiwa dan tersendiri. Insya-ALLAH, kalau ada rezeki yang panjang dalam dunia lakonan, saya juga mahu pasang angan untuk jadi seperti mereka.

“Tetapi saya percaya, perjalanan ketiganya pun bukanlah cepat. Sebaliknya, mereka terus berusaha memajukan diri untuk berada pada posisi sekarang. Jadi pastinya, azam saya adalah untuk melakukan perkara yang sama,” jelas Adam optimis.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");