Sukan Hari Ini

FAP Terima Kritikan Penyokong

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari berkata, setiap penyokong berhak membuat kritikan tetapi perlu berhemah dan bukan secara ugutan atau makian.

Oleh itu, beliau berkata, FAP akan mengambil kesemua kritikan membina terhadap pasukan bola sepak negeri sementara kritikan pula akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Setiap kritikan yang membina ke atas FAP, pasukan, jurulatih atau saya sendiri, semua itu kita ambil sebagai satu panduan. Setiap orang berhak membuat kritikan terutamanya apabila keputusan sebuah pasukan itu tidak membanggakan.

“Tetapi, saya harap kritikan yang dibuat tidak bersifat keganasan, negatif dan menyentuh peribadi. Tiada siapa dalam FAP mahukan keputusan tidak baik seperti ini. Kita sedang menjalankan beberapa perubahan untuk peningkatan pasukan Pulau Pinang,” katanya, lapor Sinar Harian.

Zairil berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemarahan penyokong pasukan itu terhadap FAP dan pengurusannya apabila enam kali kalah dalam Liga Super 2017.

Zairil turut mengakui membuat laporan polis selepas mendapat ugutan bunuh menerusi laman Facebooknya.

“Saya ada membuat laporan polis selepas saya dan ketua jurulatih, Ashley Westwood diugut bunuh. Tindakan mereka itu dilihat agak melampau. Mereka juga mempertikaikan jawatan saya, ingin saya tegaskan, saya dilantik oleh wakil FAP dan bukannya melantik diri sendiri. Apa yang menghairankan, keputusan pasukan Pulau Pinang tahun lalu dengan tahun ini sama, kita kalah enam kali dan seri sekali.

“Tetapi mengapa tindakan penyokong tahun lepas dengan tahun ini berbeza? Tahun lalu, penyokong tidak terlalu marah seperti sekarang ini. Namun apabila saya berada dalam FAP (sebagai presiden), semuanya berubah. Saya perlukan jawapan kerana tindakan mereka itu terlalu melampau. FAP bergerak secara kumpulan, tidak adil untuk menyalahkan sesetangah individu sahaja,” katanya.

Menurutnya, menyalahkan pemain secara peribadi juga tidak akan membantu pasukan mencapai kemenangan.

Sehubungan itu, Zairil meminta agar penyokong Pulau Pinang memahami kekangan sumber kewangan yang dihadapi FAP.

“Jika mereka mahu pasukan hebat, beri kita dana seperti yang diterima pasukan Kedah. FAP kini sedang berusaha untuk membentuk sebuah pasukan baik dengan bajet yang sederhana. Tumpuan kita kini untuk membentuk sebuah pasukan yang terdiri daripada ramai pemain hebat.

“Namun, dengan tekanan yang diberikan penyokong, ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain muda (bawah 22 tahun). Ia sedikit sebanyak mengganggu kerana kita sedang membentuk mereka untuk menjadi pemain negara. Sehubungan itu, saya harap penyokong memberi semangat, bukannya mencerca mereka,” katanya.

Jumaat lalu, sekumpulan penyokong setia skuad Harimau Kumbang menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana tidak berpuas hati dengan FAP.

Memorandum berkenaan meminta Guan Eng campur tangan mempertimbangkan kedudukan Zairil sebagai Presiden FAP yang disifatkan tidak tahu menjalankan tugas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");