Perak Hari Ini

JPS Lantik Empayar Indera Sdn Bhd Selenggara Jalan Pertanian

IPOH: Isu berkaitan pemberian kontrak penyelenggaraan jalan pertanian di negeri ini telah mendapat perhatian dari Jabatan Pengairan dan Saliran Perak (JPS).

Ekoran itu, kerajaan negeri membuat keputusan untuk melantik syarikat Empayar Indera Sdn Bhd bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan pertanian dan jalan ladang di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS).

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin berkata, keputusan itu dilihat mampu memberi langkah penyelesaian baru terhadap masalah ini.

Jelas beliau, pemberian kontrak ini bertujuan untuk melancarkan lagi sebarang urusan kerja di antara JPS, kontraktor dan sub kontraktor.

“Tidak seperti sebelum ini, kerja-kerja berkenaan hanya diuruskan oleh JPS sendiri.

“Pemberian kontrak selama dua tahun yang bernilai RM 45 juta setahun ini merangkumi skop kerja penyelenggaraan rutin dan berkala.

“Kerja penyelenggaraan jalan ladang termasuk parit dan semua sisi jalan yang didaftarkan di bawah jalan MARRIS,” katanya.

Beliau juga berkata jalan-jalan ini akan diselenggarakan sebanyak empat kali setahun dimana setiap tiga bulan kerja-kerja ini akan dijalankan mengikut peruntukan sebanyak RM 32 juta untuk dua tahun.

Bagi penyelenggaraan berkala pula, peruntukan yang diterima adalah sebanyak RM 58 juta untuk dua tahun.

Menurut beliau juga, sebagai syarikat konsesi Empayar Indera Sdn Bhd perlu melantik kontraktor tempatan yang berdaftar di bawah Empayar Indera untuk diberikan kontrak bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Bagi kerja penyelenggaraan berkala, 40% dari jumlah kerja berkala akan di agihkan kepada Ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak (PKMMP), manakala 60% dari kerja berkala akan di agihkan kepada kontraktor G1, G2, G3 atau G4 yang berdaftar di negeri Perak atau berasal dari Perak.

“Tetapi kontraktor ini perlulah berdaftar di bawah Empayar Indera Sdn Bhd dengan membentangkan kertas kerja dan sebagainya terlebih dahulu,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, antara kesan positif yang akan diterima adalah segala perlaksaan kerja akan dapat di proses dengan cepat dan tidak memakan masa.

“Sebelum ini segala proses akan memakan masa yang lama lebih kurang dalam 14 hingga 27 hari, jika paling lama memakan masa sehingga 41 hari untuk setiap projek itu diluluskan.

“Kontraktor juga perlu menyerahkan sebut harga dahulu dan pihak JPS perlu membuat lawatan ke tapak jadi ini memakan masa.

“Sekarang segala urusan akan di kendalikan oleh Empayar Indera Sdn Bhd sendiri dan semua proses tidak akan memakan masa yang lama,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Zainol lagi, kawalan mutu kerja juga selepas ini dapat dipertingkatkan kerana semua kerja dapat dijalankan serta merta.

“Kawalan mutu selepas ini juga akan dikendalikan oleh Empayar Indera Sdn Bhd dan ini juga dapat mengurangkan beban JPS serba sedikit,” katanya.

Zainol turut menyatakan tempoh kontrak yang bermula 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019 ini menjadi tempoh percubaan kepada Empayar Indera Sdn Bhd dalam melaksanakan setiap tugasan dan pihak Kerajaan Negeri berhak untuk membuat keputusan yang lain sekiranya ada sebarang permasalahan.

Empayar Indera Sdn Bhd sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Kerja Raya Negeri Perak sejak tahun 2013 dan tiada sebarang masalah yang dihadapi kedua-dua pihak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");