Panasnya Hari Ini

PAS terima keputusan BN

KUALA LUMPUR: Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 tidak menjejaskan persiapan PAS membawanya sebagai rang undang-undang persendirian.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata Ahli Parlimen parti itu diletakkan dalam mod berjaga-jaga bagi menghadapi perbahasan mengenai rang undang-undang berkenaan.

“Bezanya, jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi rang undang-undang kerajaan yang diutamakan gilirannya.

“Sebaliknya jika PAS bentang, ia kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang gilirannya ditentukan Yang Dipertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan Dewan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan bagi BN tidak membentangkan RUU 355 diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata, keputusan itu adalah selaras dengan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

Sehubungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, walaupun PAS belum menyatakan sikap rasminya terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kerajaan BN akan membentangkan pindaan Akta 355, ia dilihat sebagai opsyen yang boleh diguna pakai bagi mengurus status dan format pindaan akta berkenan.

Bagaimanapun, katanya, musuh politik PAS segera mencetuskan propaganda kononnya PAS ditipu BN.

“Pengisytiharan malam tadi itu menyebabkan musuh politik PAS pantas mencaras kononnya PAS menjadi mangsa `game’ UMNO dan BN… entahlah, mana satu yang betul?.

“Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh UMNO dan BN, kenapa tidak kerajaan BN saja yang membentangnya ke Parlimen?

“Bukankah UMNO menyokong, maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.

“Apabila Timbalan Perdana Menteri umum kerajaan BN akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga meloncat tidak ketahuan punca kononnya PAS kena `kencing’ oleh UMNO.Pada mereka, semuanya serba tidak kena,” katanya memetik sumber Berita Harian Online.

Nasrudin berkata, sikap dan persediaan PAS tidak berubah atau terjejas kerana kedua-duanya menjadi opsyen yang boleh dipertimbangkan sejak awal memperjuangkannya.

Katanya, PAS tidak bermasalah pihak mana yang mahu membentangkannya, malah PAS sedia membentang dan membahaskannya pada bila-bila masa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");