Jenayah

Kencing Tikus: Remaja Maut Sah Mandi Di Gunung Pulai

JOHOR BAHRU – Seorang remaja tempatan disahkan meninggal dunia akibat penyakit kencing tikus setelah mandi di kawasan rekreasi Air Terjun Gunung Pulai, Kulai dekat sini lewat malam tadi.

Berita sedih tersebut turut disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

Mangsa yang tidak didedahkan namanya dikatakan berumur 18 tahun dan berasal dari Pekan Nenas, Pontian itu meninggal dunia setelah tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor bahawa satu kematian sekitar jam 12 tengah malam tadi dilaporkan di ICU HSA disebabkan kencing tikus (leptospirosis) dan kegagalan organ berfungsi,” jelas Ayub lagi.

Menurut beliau, remaja tersebut mendakwa pernah mandi di Air Terjun Gunung Pulai sekitar April lalu. Pada awalnya, mangsa hanya mengadu sakit perut, selesema, demam selama tiga hari dan lemah anggota tubuh badan.

Jabatan Kesihatan Johor ujar Ayub, dalam proses penyiasatan dan mengenal pasti lokasi pergerakan si mati sebelum dimasukkan ke HSA. Beliau juga sedia memaklumkan sebarang perkembagan dari masa ke semasa.

“Saya menasihati kepada semua pengunjung mana-mana air terjun atau pusat reakreasi sekitar bulan April dan Mei ini untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital dan klinik kesihatan dengan kadar segera,” kata beliau lagi.

Gunung Pulai setinggi 654 meter dari paras laut, suatu ketika pernah menempatkan loji rawatan air mentah untuk bekalan ke Singapura selama 50 tahun sebelum diserahkan semula kepada kerajaan Johor pada 2011 lalu.

Sekitar Oktober 2015 lalu, kawasan rekreasi perkelahan di kaki Gunung Pulai itu pernah ditutup pihak berkuasa tempatan selama tiga bulan selepas air terjun di kawasan itu disahkan positif virus leptospirosis atau kencing tikus.

Leptospirosis adalah penyakit berjangkit daripada haiwan dijangkiti oleh bakteria leptospira kepada manusia yang terdedah kepada makanan, air atau tanah setelah dicemari air kencing haiwan terjangkit (makhluk pembawa).

Bakteria ini boleh dijangkiti melalui pengambilan makanan/minuman tercemar atau memasuki tubuh manusia melalui luka di kulit dan lapisan mukosa seperti selaput mata dan mulut yang bersentuhan. – Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");