Isu Panas

Mahu Berehat Dari Dunia Politik

NAMA Datuk Dr Hasan Ali tidak asing lagi dalam dunia politik, mahupun penyebaran dakwah Islamiah. Sudah 17 tahun dalam bidang politik. Beliau pernah menjadi ahli parlimen, kemudian dilantik sebagai Adun dan Exco Kanan Selangor selama empat tahun.

Selepas digugurkan sebagai Exco Selangor dan ahli Pas pada 2012 kerana kelantangannya mengkritik pentadbiran kerajaan negeri ketika itu, namanya seakan sepi.

Diam-diam ubi berisi. Kehilangan Hasan Ali hanya di arena politik tanah air kerana mahu berehat dari dunia itu.

Di kala usia menginjak 70 tahun, tenaga tuanya masih cergas dan sehingga kini tetap terus bergiat aktif sebagai pendakwah, selain terlibat dengan badan bukan kerajaan berkaitan agama demi memartabatkan Islam di seluruh dunia.

Memetik sumber temu bual khas Sinar Harian yang berpeluang bertemu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu di pejabatnya di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

Boleh ceritakan seimbas lalu mengenai kerjaya Datuk dalam dunia politik tanah air?

Saya berada dalam bidang politik selama 17 tahun, dan empat tahun terakhir ini saya ambil keputusan berehat daripada politik.

Sebelum ini, saya seorang ahli parlimen, kemudian dilantik menjadi Adun dan Exco Kanan Kerajaan Selangor selama empat tahun.

Kemudian, atas sebab mungkin tidak sejalan dengan kawan-kawan Exco dan dengan pimpinan parti kerana prinsip saya iaitu mempertahankan agama dan orang Melayu, saya dianggap not to the line. Sebab itu, saya digugurkan sebagai ahli Pas dan Exco Selangor.

Selepas digugurkan, saya ambil peluang berehat sebentar untuk bermuhasabah atas apa yang telah saya lakukan selama berpuluh-puluh tahun dan apa yang saya perlu lakukan di hadapan.

Perkembangan terkini Datuk setelah lama menyepi dari arena politik tanah air.

Saya di peringkat ini, profesion saya adalah sebagai pendakwah. Sejak tiga dekad lalu dan sehingga kini saya masih lagi berdakwah. Bukan untuk diri saya, keluarga saya tapi sasaran saya adalah untuk umat sejagat. Saya dilahirkan ke dunia untuk umat, Insya-ALLAH saya mati juga untuk umat.

Kalau dulu kita biasa menonton Forum Hal Ehwal Islam, saya adalah moderator yang pertama. Ketika itu bersama panel Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Datuk Ismail Kamus. Program ini sentiasa (rating) nombor satu dalam masa lima tahun berturut-turut, mengatasi filem Tan Sri P Ramlee dan drama-drama yang lain.

Sekarang ini, saya juga terlibat dalam jemaah (berkumpulan) bergerak ke setiap negeri menyebarkan agama ALLAH. Saya juga berpeluang ke luar negara untuk melakukan dakwah Islamiah.

Itu profesion saya sekarang. Boleh dikatakan, hampir 60 peratus masa saya tertumpu kepada pendakwahan, sama ada di masjid, surau, forum, persidangan, wacana atau simposium. Nampaknya tenaga tua saya masih berguna lagi.

Selain berdakwah, adakah Datuk terlibat dengan aktiviti bersama badan bukan kerajaan?

Projek terbaru adalah membangunkan sebuah Kompleks Laman Pendidikan Islam Semungkis (Lapis). Kompleks ini inisiatif Yayasan Kebajikan Sabha. Saya pengerusinya.

Kompleks ini terletak di Batu 15, Sungai Semungkis, Hulu Langat yang bakal beroperasi, dijangka akhir 2018.

Penubuhannya sebagai langkah memenuhi permintaan tinggi untuk pendidikan menghafaz al-Quran dan pendidikan hujung usia untuk warga emas.

Lapis ini mempunyai dua anjung, Anjung Huffaz dan Anjung Husnul Khatimah. Anjung Huffaz adalah pusat penghafazan dan pengajian al-Quran untuk pelajar berumur 13 hingga 17 tahun.

Hasrat saya untuk menjadikan mereka penghafaz al-Quran dan generasi yang unik sehingga ke peringkat antarabangsa. Generasi yang dapat membimbing umat dengan menggunakan teknologi terkini.

Sementara Anjung Husnul Khatimah menyediakan pendidikan untuk warga emas berusia 50 tahun ke atas. Mereka akan menerima pendidikan berteraskan ilmu dan amalan Islam yang akan memandu mereka menghabiskan usia dan menemui ALLAH SWT dalam persekitaran Husnul Khatimah. Program ini melibatkan tujuh modul. Boleh dihabiskan dalam tempoh setahun mengikut waktu dan kesesuaian peserta sendiri.

Apakah manfaat yang diperoleh daripada program pendidikan hujung usia ini?

Melalui modul ini, kita pimpin warga emas ini supaya mereka dapat bertemu ALLAH SWT dalam suasana Husnul Khatimah iaitu dalam keadaan kematian yang baik.

Saya buat program ini kerana saya dapati dari segi ilmu agama, majoriti mempunyai ilmu agama yang sangat kerdil, sangat cetek. Amalannya pula sangat daif, contohnya solat mereka. Saya juga dapati kecenderungan meninggalkan amalan-amalan agama begitu lumrah.

Contohnya, amalan menunaikan solat fardu di masjid atau surau amat sedikit. Kajian menunjukkan hanya satu peratus sahaja, mereka yang ke masjid menunaikan solat fardu kecuali Jumaat.

Kalau di sesetengah kawasan, lebih menyedihkan. Azan Zuhur tiada, azan Asar tiada. Kalau ada yang datang, seorang dua dari sekitar penduduk 3,000 orang.

Selain itu, saya mahu anak-anak, cucu dan keluarga terdekat lebih bersedia mengurus ayah bonda lanjut usia hingga ke akhir hayat dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");