shadow

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), ia dapat menangguhkan tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bulan depan untuk memberi laluan kepada persiapan pasukan Bawah 22 tahun negara (B-22).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada badan pentadbir liga itu untuk mempertimbangkan permintaan pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee, sebagai usaha menyediakan pasukan dalam keadaan yang lebih baik sebelum mengharungi temasya Sukan SEA 2017.

“FAM menyokong permintaan Kim Swee dan kami sudah mengemukakan permohonan bagi menangguhkan aksi pada 4, 5 dan 9 Ogos memandangkan tiga perlawanan itu hampir dengan Sukan SEA 2017.

“Jadi, kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak mereka berhubung permohonan ini.

“Walaupun pasukan sudah memberi jaminan untuk melepaskan pemain selepas tamat tiga aksi itu, tetapi saya kira lebih baik aksi terbabit ditangguhkan supaya Kim Swee ada lebih banyak masa untuk melakukan persiapan ke temasya itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri skuad bola sepak wanita dan futsal wanita di ibu negara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, Hamidin mensasarkan skuad negara supaya dapat menamatkan saingan sekurang-kurangnya sebagai naib juara kumpulan.

Sementara itu, Kim Swee menyifatkan perkhabaran Hamidin itu sebagai satu berita gembira terutamanya selepas pelbagai kemelut yang melanda skuad B-22 negara berhubung panggilan bagi mengharungi saingan Kelayakan B-23 AFC 2018 pada 19 hingga 23 Julai ini.

“Ini adalah berita terbaik yang saya dengar setakat ini terutamanya kita sendiri tahu saingan Sukan SEA akan bermula tidak lama.

“Kalau penangguhan perlawanan itu dapat dilakukan, ini akan memberikan saya lebih masa iaitu kira-kira dua minggu dan itu sudah mencukupi untuk saya melakukan persiapan berbanding hanya lima hari mengikut jadual asal,” katanya.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat