Perak Hari Ini

Industri Pelancongan Mungkin Akan Terkesan Akibat Rabies

IPOH: Sektor pelancongan serta ekonomi setempat di Kuala Sepetang dan sekitarnya mungkin mengalami kelembapan akibat kewujudan penyakit anjing gila atau rabies, yang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin  Mohammed Radzi berkata kerajaan negeri tidak menafikan bahawa kes rabies bakal memberi impak kepada pelancongan setempat di dalam Daerah Larut Matang dan Selama.

 

“Apabila satu-satu tempat pelancongan itu diisytiharkan sebagai kawasan berwabak penyakit, maka pelancong akan mula bimbang akan faktor berkenaan dan akan mengambil langkah berhati-hati dan sekaligus mengubah perancangan mereka untuk melancong ke situ, pada ketika ini”, katanya pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Penggiat-Penggiat Industri Pelancongan Perak di Hotel Impiana, dekat sini pada Isnin.

 

Tambah Nolee, arahan langkah berjaga-jaga telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperingatkan orang ramai khususnya para pelancong agar sentiasa berhati-hati dengan wabak ini.

 

“Saya diberitahu yang semua pihak telah diberi nasihat tentang tindakan berjaga-jaga terhadap penyakit ini dan pada masa sama PBT bertanggungjawab pun telah mengambil beberapa tindakan untuk membendung gejala ini makin parah”, kata Nolee.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengisytiharkan mukim Matang dalam Daerah Larut Matang  dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila susulan laporan berkaitan kes berkenaan yang dikesan di kawasan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");