Membawang Hari Ini

Hadiah Marcell Buat Peminat

KONSERT solo pertama penyanyi terkenal Indonesia, Marcell yang diberi nama Once In A Life Time bakal menjadi saksi hubungan indah penyanyi berusia 40 tahun ini dengan peminatnya di Malaysia.

Bakal dipentaskan pada 23 September depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Marcell atau nama lengkapnya, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan menjanjikan persembahan spektakular, sebagai simbol dedikasi buat peminat tercinta.

Menyifatkan konsert solo pertamanya di negara ini adalah sebagai pengalaman berharga, Marcell secara jujur memberitahu, jiwanya cukup dekat dengan Malaysia. Malah katanya, seperti ada satu ‘ikatan batin’ yang membuatkan dirinya cukup selesa kala berkunjung ke sini.

Tambahnya lagi, ia sering kali diberitahu kepada kepada rakan media juga beberapa kenalannya.

“Saya sendiri tidak boleh jelaskan, tetapi itulah yang saya rasa. Mungkin kerana warganya, cuacanya, makannya atau apa saja,” katanya ketika ditemui Media Hiburan di Sala Restaurant, Desa Sri Hartamas, baru-baru ini.

Jelas Marcell, peluang mengadakan persembahan pentas sekali gus mengisi masa bersama peminat setia di Malaysia menjadi antara peluang terbaik buat penyanyi yang sinonim dengan lagu Hanya Memuji (duet bersama Shanty) ini terus melakar nama di arena muzik serantau. Kekal relevan selepas 15 tahun berkarya, konsert yang bakal berjalan selama dua jam setengah itu juga adalah sebagai dedikasi perjalanan seninya ketika ini, selain menyambut ulang tahun kelahirannya ke-40 pada 21 September depan.

Bercakap lebih lanjut mengenai konsert Marcell Once In A Life Time, bintang kelahiran Bandung, Indonesia ini optimis mahu beri persembahan terbaik. Bagaimanapun, dia enggan berkongsi secara terperinci mengenai perjalanan konsert tersebut kerana baginya, adalah lebih baik andai semua yang hadir menonton menerima suatu kejutan yang tidak disangka-sangka.

“Kalau saya beritahu apa yang akan berlaku pada malam itu nanti, tidak akan ada kejutannyalah. Apa pun, apa yang boleh dikongsi, saya akan mengalunkan lebih 40 lagu, termasuk yang dilakukan secara medley. Saya tidak mahu bagaimana, tetapi saya harus sempurnakan lagu-lagu itu.

“Apa yang boleh saya janjikan untuk konsert itu? Nantikan dan datang saja ke sana untuk berhibur. Kalau ada sebarang info saya akan updates di media sosial,” katanya lagi memetik laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun akui Marcell, konsert tersebut dianjurkan sendiri dengan kerjasama Empire Live, VMC Music Indonesia dan Oleg Sabchabakhtiar dari Planet Design Indonesia.

Lebih menarik, Marcell sempat memberi bayangan akan berduet dengan penyanyi Malaysia pada malam itu nanti.

Pada masa sama, Marcell yang kini hadir dengan single terbaru duet bersama Raline Shah berjudul Jadi Milikku turut menjelaskan, tahun ini merupakan tahun yang sibuk buat dirinya. Selain bakal mengadakan konsert, Marcell juga sedang dalam fasa transformasi untuk menjadi penerbit.

“Mungkin ada rakan media yang ada melihat di Instagram saya. Di situ saya ada memuat naik mengenai single baru yang diambil menerusi album terbaru saya, #menurutsaya. Album itu merupakan apresiasi kepada pemuzik, karyawan yang menjadi kegemaran saya.

“Selain itu, saya juga mahu explore apa lagi yang boleh dilakukan, meskipun ada yang dirasakan sukar. Misalnya untuk melakukan video selfie di media sosial. Bagi saya, ia sesuatu yang sukar sebab saya bukanlah jenis yang sebegitu. Benar, saya seorang selebriti, tapi bila perlu lakukan promosi sedemikian, saya jadi malu.

“Bagaimanapun, inilah masanya. Sampai bila mahu begitu. Kita perlu sedar bahawa masa sekarang adalah transisi daripada non-digital kepada serba serbi melibatkan digital. Jadi kita pun perlulah berubah. Tidak dinafikan, dulunya saya seorang yang konvensional, oldschool,” luah Marcell yang turut mengakui pada peringkat awal, agak sukar baginya untuk ikut peredaran semasa.

Enggan Dibandingkan

Sementara itu, penyanyi yang memulakan kerjaya seninya pada 2002 lalu turut enggan dikaitkan dengan penyanyi sedia ada. Baginya, adalah lebih baik untuk menjadi diri sendiri, tanpa perlu ikut cara seseorang artis itu.

Hakikatnya, masing-masing mempunyai personaliti dan kelebihan tersendiri, tanpa perlu membanding seterusnya memilih mana satu yang terbaik.

“Ada ketikanya, orang sering membanding-bandingkan saya dengan Afgan, Tulus, Glenn dan sebagainya. Saya tidak suka itu. Tidak boleh samakan posisi saya dengan mereka. Ini adalah muzik dan biarkanlah kami buat kerja secara tulus, jujur tanpa perlu disamakan. Masing-masing ada cara sendiri dan mereka juga adalah platform saya untuk belajar,” ungkap Marcell jujur.

Sewajarnya, pencinta muzik perlu lebih terbuka dan bagi Marcell dia lebih selesa untuk melakukan apa yang disukai daripada melakukan sesuatu atas desakan individu.

“Ya, saya gembira dengan cara seperti ini. Bahkan saat awal saya keluarkan single dulu ada yang tanya apa yang saya mahukan di dalam muzik. Jawab saja adalah penghargaan kerana bila sesebuah naskhah kita itu dihargai, disukai peminat, isu wang itu sudah pun jatuh di tangga kedua. Itulah kepuasan yang dicari dari saya sebenarnya,” akhiri Marcell yang turut mengharapkan agar peminatnya dari seluruh negara dapat berkumpul bagi meraikan konsert istimewanya itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");