Jenayah

Isa Samad Direman Lima Hari

PUTRAJAYA: Bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London antara 2014 dan 2015.

Perintah reman bermula hari ini hingga Ahad dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.

Terdahulu Isa, 68, tiba di Mahkamah Majistret di sini jam 9.08 pagi berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga, lapor BH Online.

Beliau diwakili enam peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Dev Kumaraendran, Datuk N Sivananthan, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Lavina Kumaraendran manakala kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Isa ditahan jam 4.24 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas memberi keterangan hampir dua jam berhubung urus niaga hotel berkenaan.

Sebelum ini BH Online juga melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel di Kensington, London kepada FIC dikatakan memperoleh untung RM78 juta dalam masa 24 jam.

Terdahulu, perkarangan Mahkamah Majistret di sini, pagi ini dipenuhi wakil media dan orang awam yang ingin mengikuti prosiding permohonan reman terhadap Isa.

Turut kelihatan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan beberapa peguam.

Isa sebelum memasuki prosiding dilihat sempat berseloroh meminta jurugambar tidak dihalang dan diberi peluang merakamkan gambarnya manakala isterinya kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika Isa dibawa masuk ke kamar mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");