Jenayah

Ahmad Zahid Hadapi Tuduhan Baharu Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan baharu membabitkan pecah amanah berjumlah RM260,000, milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Memetik laporan BH Online, Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai pemegang Amanah Yayasan Akalbudi didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM260,000 milik yayasan berkenaan untuk membuat pembayaran kepada syarikat TS Consultancy & Resources.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Nombor 133, Off Jalan Masjid India, di sini, pada 23 Disember 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Susulan pertuduhan tambahan itu, Ahmad Zahid, kini berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 tuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, memberitahu mahkamah pendakwaan sudah menyerahkan dua set dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan sebarang jaminan tambahan dan menggunapakai jumlah ikat jamin terdahulu.

Perkara itu disahkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid yang turut memaklumkan pihaknya akan melakukan semakan terhadap dokumen yang diserahkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, Ahmad Zahid turut diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Kitson Foong, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Mohd Haziq Dhiyauddin dan Asilah Mohamad Shahril.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");