Sukan Hari Ini

PBNJ lucut jawatan On serta-merta

JB01_220414_TUMBUK PENGADIL

TIGA hari selepas insiden di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengambil tindakan drastik apabila melucutkan jawatan On Jabbar sebagai pengurus Johor Darul Takzim II (Johor DT II).

Hukuman yang dibuat PBNJ itu dipercayai ekoran tindakan On yang didakwa menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman ketika aksi Liga Premier antara Johor DT II dan UiTM FC di Pasir Gudang, Sabtu lalu yang berkesudahan seri 2-2.

PBNJ menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam memaklumkan bahawa On telah dilucutkan daripada jawatan tersebut kerana berkelakuan kurang sopan pada perlawanan tersebut.

“Dukacitanya dimaklumkan Tuan (On) telah dilucutkan daripada memegang jawatan sebagai Pengurus Pasukan Johor DT II berkuat kuasa serta-merta daripada tarikh surat ini (22 April 2014).

“Tuan juga dikenakan denda sebanyak RM25,000 berikutan insiden yang berlaku ketika perlawanan menentang UiTM dalam saingan liga di Stadium MPPG, 19 April (Sabtu) lalu.

“Bagaimanapun, Tuan masih lagi kekal sebagai ahli Exco PBNJ. Sehubungan itu, pihak PBNJ mengucapkan terima kasih atas kerjasama, sokongan dan komitmen diberikan kepada pasukan Johor DT II selama ini,” kata PBNJ menerusi kenyataan semalam.

Terdahulu, On tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di Pasir Gudang, Johor kira-kira pukul 10 pagi semalam selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

Kosmo! semalam melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat komisioner perlawanan serta pegawai penilai dan mendapati ia konsisten dengan laporan dibuat Sukri.

Justeru itu, On kini disiasat mengikut Perkara 2.4 Kod Tatatertib Liga Malaysia kerana didakwa menyerang dan memukul mana-mana pemain atau pegawai tanpa mendatangkan kecederaan dan boleh dikenakan hukuman penggantungan enam perlawanan jika sabit kesalahan.

On turut disiasat mengikut Perkara 2.5 kod yang sama dan boleh dihukum maksimum penggantungan seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pada aksi Sabtu lalu, On didakwa telah menumbuk muka Sukri selepas berang dengan beberapa keputusan yang disifatkan berat sebelah oleh pengadil terbabit selain menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong Johor DT II.

Difahamkan, Sukri telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Terengganu pada hari kejadian.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");