Membawang Hari Ini

Fazley perkenal konsep ‘kahwin kerjaya’

fazly

“Muka abang samalah dengan penyanyi lagu Asmara Ini,” kata Datuk Fazley Yaakob ketika menceritakan detik lucu apabila salah seorang remaja menegurnya ketika beliau mengendalikan kelas motivasi, suatu ketika dulu.

Fazley yang juga penyanyi, pelakon, ikon masakan dan pengacara tidak berkecil hati jika generasi baru tidak mengenalinya yang pernah digilai ramai wanita dek lagu cinta itu yang meledak di corong radio pada 2001.

“Saya tidak pernah tinggalkan dunia hiburan. Mungkin ramai yang tidak tahu saya masih aktif menyanyi walaupun sejak kebelakangan ini, tumpuan saya lebih kepada dunia masakan dan motivasi.

“Sebagai langkah tidak mahu melupakan dunia nyanyian, saya sering mengambil pendekatan ‘kahwin’ untuk semua bidang yang saya lakukan,” katanya.

Menurut Fazley, konsep ‘kahwin kerjaya’ membolehkan beliau melakukan semua kerja diminati serentak. Langkah itu juga memastikan beliau tidak mengabaikan keluarga sebagai tanggungjawab utama.

“Sebelum saya berkahwin, saya kerap melakukan banyak tugas dalam suatu masa. Ia adalah kerja yang saya minati. Sudah tentu tidak akan saya ketepikan, apa yang penting saya harus bijak mengatur masa sendiri.

“Biasanya, setiap pakej motivasi yang saya kendalikan perlu ada tiga cabang iaitu motivasi, demonstrasi masakan dan persembahan,” katanya ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk penggantian gula A & M Treasure di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mahu buka sekolah memasak

Populariti lagu Coklat Kek tahun lalu mendorong Fazley kembali kepada dunia muzik dengan lagu sentimental.

“Saya akan melancarkan lagu Asmara Ini 2014 tidak lama lagi. Lagu asal sudah berusia 12 tahun, jadi kali ini saya membuat gubahan baru dengan berkolaborasi bersama One Nation Emcees.

“Untuk album baharu, saya sudah ada beberapa lagu seperti November Itu yang juga sambungan lagu Bila April. Album ini akan memuatkan lapan lagu,” katanya yang menjangka album itu akan dipasarkan, Jun depan.

Dalam kesibukan mengurus kerjayanya, Fazley tetap mengutamakan keluarga dengan memberikan perhatian penuh kepada tiga cahaya mata.

“Jika ikutkan, memanglah penat. Namun, inilah tanggungjawab yang saya harus pikul. Selepas berkahwin, saya dan isteri sudah berjanji menjaga anak-anak sendiri walaupun ada pembantu rumah.

“Semua hal anak-anak, persekolahan mereka, makan hinggalah tidur mesti bersama kami. Pembantu rumah hanya menguruskan rumah saja,” katanya.

Fazley berkata, rutin hidupnya padat daripada mengajar di kelas di Universiti Malaya (UM) hinggalah mengambil anak di sekolah dan memenuhi jemputan sesi motivasi dan sebagainya.

Beliau juga berkongsi rancangan mahu membuka sekolah memasak. Niatnya untuk membantu pelajar yang kurang mampu mempelajari ilmu memasak.

“Kebanyakan institusi pendidikan kulinari memerlukan kos tinggi untuk menyertainya. Fokus saya adalah untuk membantu pelajar susah dan suri rumah yang mahu belajar masakan dengan kos rendah dan berkemampuan memulakan perniagaan.

“Saya juga akan menerbitkan buku masakan berkisar pengenalan kepada dunia pastri di Malaysia,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");