Sukan Hari Ini

Aksi lesu punca TRW tewas besar

bola 1

PENGENDALI sementara The Red Warriors, Mohd Hashim Mustapha menyifatkan aksi kurang bertenaga barisan pemain menjadi punca pasukannya tewas 0-4 kepada South China pada aksi terakhir Kumpulan G kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Mong Kok, Hong Kong, malam kelmarin.

Mohd Hashim berkata, pasukannya bermain dengan baik sepanjang 70 minit perlawanan, namun bertukar lesu pada 20 minit terakhir sehingga membenarkan South China menjaringkan tiga gol.

“Kita memberi tentangan sengit kepada South China biar pun kena satu gol pada minit-minit akhir babak pertama. Memasuki babak kedua, kita juga masih mampu menyaingi mereka, namun selepas 70 minit, pemain semakin tidak bertenaga.

“Kita menurunkan Mohamad Faiz Suhaimi dan Muhammad Nazri Ahmad kerana dua pemain ini sebenarnya lama tidak beraksi. Mereka mengutip pengalaman berguna dan tidak boleh dipersalahkan di atas kekalahan ini,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, South China mendahului 1-0 tiga minit sebelum babak pertama berakhir menerusi Lee Hong Lim sebelum mengganas 20 minit terakhir dengan menambahkan tiga lagi gol hasil sentuhan Andrew Nikolas Barisic (m-75 dan 93) serta Lo Kong Kwai (m-82).

Penolong jurulatih berusia 48 tahun itu memberitahu, Kelantan sebenarnya berpeluang untuk mengejutkan tuan rumah tetapi salah satu daripada dua peluang terbaik mereka dalam babak pertama gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Francis Forkey Doe mencipta peluang pada minit ke-22 ketika Ahmad Fakri Saarani tidak dikawal pemain lawan ketika itu. Tetapi dia memilih untuk merembat yang menyaksikan bola ditepis penjaga gol South China tanpa mampu Ahmad Fakri melakukan tindakan susulan,” katanya.

Beliau bagaimanapun memuji persembahan pemain kelab Hong Kong itu yang menggunakan kepantasan dua pemain sayap mereka melancarkan serangan ke kubu akhir pasukannya.

“Pemain import nombor 10 (Joao Emir Porto Pereira) menjadi kunci kepada kemenangan South China dalam perlawanan ini kerana banyak bola hantarannya disempurnakan rakan sepasukan.

“Andai Kelantan mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama, saya rasa corak permainan kita pada babak kedua akan berubah dan boleh memberi saingan sengit kepada mereka,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");