Kolumnis, Perak Hari Ini

Silap Percaturan Punca DAP Tewas Di Teluk Intan?

Kekalahan Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan mewujudkan pelbagai tanggapan dan persepsi umum terhadap tindakan berani parti pembangkang, DAP meletakkan calon daripada kaum Melayu bertanding atas nama pembaharuan politik dalam Pakatan Rakyat.

Ibu Dyana Sofya sendiri, Yammy Samat ada memberi kenyataan DAP bakal berhadapan risiko besar kehilangan kerusi Parlimen Teluk yang dikuasai sejak dua penggal itu jika mencalonkan anak perempuannya.

Namun, pemimpin tertinggi DAP seperti Penasihatnya, Lim Kit Siang berani mengambil risiko itu dan akhirnya amaran Yammy itu terjawab apabila Dyana Sofya tewas kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong.

Beberapa sebab diutarakan sebagai punca kekalahan peguam muda itu antaranya faktor usia Dyana Sofya yang muda, tidak matang serta faktor perkauman seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau dalam kenyataan media ketika mengulas kekalahan itu berkata, berlaku penurunan 10 peratus sokongan kepada parti dalam PRK Teluk Intan yang mungkin disebabkan Dyana Sofya seorang yang muda, wanita dan Melayu.

Namun, sejauh manakah kebenaran dakwaan itu kerana pemilihan Dyana Sofya telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti bukannya pilihannya sendiri sedangkan suara di peringkat akar umbi sebenarnya mahu calon tempatan diangkat menjadi lawan kepada Mah.

Alasan itu munasabah dan masuk akal kerana Dyana Sofya baru umur setahun jagung dalam bidang politik dan jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah tidak memberi banyak kelebihan kepadanya untuk meraih sokongan pengundi Cina di Teluk Intan.

Apatah lagi, pendedahan berkaitan penglibatan Yammy dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan masih lagi ahli UMNO yang sah mendapat perhatian meluas media tempatan.

Di pihak pengundi Melayu pula, isu hudud mungkin mempengaruhi mereka untuk menolak Dyana Sofya yang dilihat berseteru dengan DAP yang membantah pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Oleh sebab itu, kekalahan Dyana Sofya dalam pilihan raya tersebut berkemungkinan berpunca daripada kredibilitinya sendiri selain faktor penarik di pihak Mah.

Sementara itu, terdapat 60,349 pemilih berdaftar di Teluk Intan dengan pecahan seramai 25,310 (41.94%) adalah pengundi Cina, 23,301 (38.6%) Melayu, dan 11,468 atau 19 peratus adalah pengundi India.

Pecahan kaum yang seimbang antara kaum Cina dan Melayu turut menjadikan DAP lebih risiko apabila meletakkan Dyana Sofya sebagai calon.

Kekalahan Dyana Sofya dengan majoriti tipis 238 undi kepada Mah mungkin memberi isyarat kepada pemimpin tertinggi DAP agar meletakkan kepentingan parti melebihi diri mereka sendiri, yakni mendengar harapan rakyat di peringkat umbi.

Penolakan pengundi Cina dan Melayu mungkin disebabkan DAP sebuah parti perkauman yang tidak akan menerima hukum hudud dan anak Melayu sebagai ahli parlimen mereka walaupun itu dinamakan sebagai pembaharuan politik di era masa kini.

Kekalahan DAP di Teluk Intan pastinya tidak akan berakhir di sini sahaja kerana post mortem akan dilakukan oleh pihak pemenang dan sebaliknya untuk merancang strategi politik masing-masing.

Baik siapa pun pemenangnya, rakyat Teluk Intan sudah bersuara dan kini masanya Ahli Parlimen yang baharu menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin.

Dalam PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei yang lalu, pertembungan menyaksikan Dyana Sofya, 27, tewas kepada calon BN, Mah,53, dengan majoriti tipis sebanyak 238 undi.

Siew Keong memperolehi undian sebanyak 20,157 undi manakala Dyana mendapat sebanyak 19,919 undi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");