Sukan Hari Ini

Impian besar musim baru

BALE 1

Los Angeles: “Kami akan bersaing merebut enam kejuaraan musim ini dan mahu menang semuanya. Ia pasti seronok dan tekanan pasti ada kerana kami antara kelab terbesar dunia.

“Bukan saja saya, malah semua pemain mahu memenangi keenam-enam kejuaraan itu dan kami mahu mempertahankan Liga Juara-Juara. Kami mempunyai pasukan hebat dan akan membantu satu sama lain bagi memastikan impian itu dapat dilaksanakan.

“Memang sukar, tapi kami akan menggunakan kesempatan yang ada ini untuk mengukuhkan persembahan kerana kami mahu menjadi pasukan pertama mempertahankan Liga Juara-Juara,” kata pemain sensasi Real Madrid, Gareth Bale.

Bekas pemain Tottenham Hotspur itu turut mengalu-alukan kehadiran penjaring terbanyak Piala Dunia, James Rodríguez dan menyifatkan pemain itu aset terbaru kelab.

“Kelab membuat pembelian tepat. Dia beraksi cemerlang di Piala Dunia. Dia patut turun berlatih secepat mungkin dan percayalah, kami akan membuatnya selesa,” katanya.

Menyentuh mengenai sistem permainan serta formasi bakal digunakan musim ini, Bale berkata: “Jurulatih akan menentukan sistem dan siapa yang akan bermain. Soalan itu saya tidak boleh jawab. Ia terletak di tangan pengurus. Kami berlatih dan berusaha memastikan tempat dalam pasukan.

“Musim lalu kami tidak mengharungi perlawanan pramusim. Rakan sepasukan membantu saya menyesuaikan diri dan kali ini, saya mahu lebih bersedia. Saya mahu meningkat setiap tahun dan menjaringkan lebih banyak gol.” Bale berkata, tidak beraksi di Brazil pada Piala Dunia turut memberikannya kelebihan walaupun terselit rasa kecewa kerana tidak dapat bersama pemain hebat lain.

“Ia boleh dianggap sebagai satu kelebihan, tapi saya memang kecewa. Apa yang saya mahu lakukan sekarang, bersedia untuk menghadapi musim baru.” Tahun ini, saingan Piala Super Eropah berlangsung di Cardiff dan Bale gembira dengan keputusan itu kerana Wales tanah airnya selain kejohanan terbabit bakal menjadi penanda aras keupayaan Real.

– Agensi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");