Berita Hari Ini

Penerbangan pengangkutan masih selamat

tragedi mh17

KUALA LUMPUR – “Saya masih percaya penerbangan masih merupakan satu daripada kaedah pengangkutan yang selamat di dunia,” kata pramugara Malaysia Airlines (MAS) K.Thanasekar.

Beliau berkata beberapa insiden membabitkan pesawat terhempas sejak akhir-akhir ini bukan bermakna ia tidak sesuai digunakan sebagai kaedah pengangkutan.

“Walaupun memandu, anda juga tidak selamat, berjalan kaki juga tidak selamat, (kerana) anda boleh terlibat dalam kemalangan di mana-mana… jadi tidak perlu takut,” katanya selepas upacara sembahyang khas untuk mangsa nahas MH17 di ibu pejabat MIC di sini, semalam.

Thanasekar berkata, seorang daripada mangsa iaitu Sanjid Singh Sandhu adalah kawan karibnya dan seorang senior yang baik.

“Apabila saya masih junior, beliau banyak mengajar saya dan kali terakhir saya menghubungi beliau ialah sebulan lalu sebelum insiden ini, tetapi kami selalu berhubung melalui media sosial dan berkongsi maklumat bersama,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertama MAS V.Sriviknesh berkata meskipun tugas mereka berisiko, mereka melakukan yang terbaik untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

Katanya, beliau mengenali hampir semua kru MH17 dan mereka saling berhubung.

Upacara sembahyang khas itu, anjuran MIC, dihadiri hampir 300 anggota parti berkenaan.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel dan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

Pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Ukraine pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 kru, dipercayai ditembak jatuh. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");