Jenayah

Kapal tangki bawa minyak ditahan

kapal tangki

KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim Tanjung Sedili selepas didapati berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.55 petang, kapal MT Ruby 10 itu ditahan kerana turut tidak memiliki dokumen yang sah serta gagal melaporkan ketibaan kapal di perairan Pengerang.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, itu dikesan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan di perairan berkenaan.

Menurutnya, MT Ruby 10 didapati sedang bersauh di kedudukan kira-kira dua batu nautika selatan Tanjung Ayam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan tidak memiliki dokumen yang sah serta bersauh di kawasan larangan.

“Siasatan awal mendapati kapal didaftarkan di Ulaan Baatar Mongolia itu membawa kargo minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO),” katanya, semalam.

Beliau berkata, kapal itu juga membawa bersama tujuh krew terdiri daripada seorang warga Indonesia dan enam warga Myanmar telah ditahan.

“Kapten kapal dan ketua jurutera dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya.

Amran berkata, kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, penahanan MT Ruby 10 itu merupakan tangkapan ketiga untuk bulan ini kerana pihaknya sebelum ini ada menahan dua lagi kapal bagi kesalahan yang sama iaitu kapal MT Aventador dan kapal MT Jaya Sakti, awal Ogos lalu.

“Tahun ini sahaja pihak Maritim telah menahan 14 kapal tangki dan kapal kapal dagang atas kesalahan yang sama.

“Kita akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang Maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal-kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin dan mereka mematuhi undang-undang Malaysia,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");