Perak Hari Ini

Ibu bapa Ketua Pramugari Lega Urusan Pengebumian Anak Selamat, Berjalan Lancar

Bapa kepada Ketua Pramugari Pesawat MH17, Yakob Silam Sudin melahirkan rasa lega kerana jenazah anaknya, Allahyarham Azrina selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah di Assam Kumbang dekat Taiping, kira-kira jam 3.35 petang tadi.

Menurutnya, beliau berasa tenang kerana segala yang dihajati pihak keluarga telah terlaksana selepas jenazah dapat dibawa pulang dengan selamat ke tanah air.

“Saya rasa lega sangat kerana segalanya berjalan dengan lancar apabila urusan pengebumian jenazah dapat disempurnakan di sini,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana faktor kesihatan tidak mengizinkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Azrina.

Beliau berkata, Allahyarham dilahirkan di Pulau Pinang tetapi atas persetujuan bersama, jenazah anaknya itu dikebumikan di kampung suaminya, Mohd Rafliz Mohd Tahir di Taiping.

“Jenazah dikebumikan di Taiping iaitu kampung suaminya, setelah mendapat persetujuan daripada semua ahli keluarga meskipun kami tinggal di Kedah,” katanya lagi.

Selain itu, jenazah dikebumikan di Taiping bagi memudahkan suami dan kedua-dua anak Allayarham iaitu Aqil Rais, 6, dan Arissa Raisha, 3, menziarahi kubur ibu mereka, kata Yakob Silam lagi.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Habibah Ismail, 65, pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan jenazah anaknya itu.

“Terima kasih kepada semua terutamanya pihak kerajaan kerana tanpa bantuan yang diberikan, mungkin kami tidak dapat membawa pulang anak kami untuk dikebumikan di sini,” ujarnya.

Menurut adik bongsu Azrina, Mohd Firdaus Yakob, kedua-dua anak saudaranya itu akan tinggal bersama abang iparnya di Taiping.

“Abang Ipar saya sudah ditukarkan tempat kerja ke cawangan Ipoh sebaik sahaja kejadian menimpa Allahyarham,” katanya lagi.

Terdahulu, jenazah Azrina tiba di Lapangan Terbang Tekah, Assam Kumbang, Taiping kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Al-Hidayah untuk disembahyangkan dan dikebumikan sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

Azrina merupakan salah seorang daripada 298 mangsa nahas MH17 yang terhempas dipercayai ditembak jatuh di sempadan Rusia-Ukraine pada Julai yang lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");