Sukan Hari Ini

Piala Malaysia: Kecoh di Petra Jaya, penyokong merusuh

SARAWAK MELAWAN PERAK

KUALA LUMPUR: Kecewa dengan keputusan seri 1-1 dilakar Sarawak ketika berdepan Perak dan mutu pengadilan dianggap rendah, ratusan penyokong skuad negeri itu merusuh di dalam dan luar Stadium Negeri, Petra Jaya, malam tadi.

Keputusan yang mengakibatkan skuad Ngap Sayot tersingkir dalam kempen Piala Malaysia itu menyaksikan penyokong bertindak meluru masuk ke kawasan balapan sebelum menendang papan iklan dan melempar papan berkenaan ke dalam padang.

Lebih memburukkan keadaan, di luar stadium, sekumpulan penyokong fanatik kemudian bertindak membaling sekurang-kurangnya empat suar ke arah deretan kenderaan polis, termasuk melempar mercun.

Selain detuman mercun, bunyi botol dipecahkan dan laungan ‘merdeka’ oleh penyokong fanatik terbabit turut kedengaran dengan pihak berkuasa tenang mengawal keadaan.

Difahamkan punca utama kepada tindakan tidak bermoral ini adalah disebabkan keputusan penjaga garisan yang membenarkan jaringan gol oleh pemain import Perak, Marco Tulio Lopes Silva pada minit ke-76 sekalipun didakwa pemain Sarawak – ofsaid.

Seramai 100 anggota keselamatan terdiri daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cuba mengawal keadaan walaupun suar dibaling ke arah mereka.

Di Luar stadium, 20 anggota Pasukan keselamatan dari Unit Pencegah Rusuhan (PORU) dilihat hanya berkawal berdekatan trak polis dan tidak mendekati sekumpulan 100 penyokong bagi mengelak insiden bertambah buruk.

Kira-kira 600 penyokong Sarawak berkumpul di luar stadium namun majoritinya hanya mahu melihat situasi yang berlaku.

Keadaan kembali tenang selepas 40 minit kejadian rusuhan berlaku tanpa ada sebarang kecederaan membabitkan penyokong Sarawak mahupun pasukan keselamatan.

Sebelum perlawanan, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) tidak membenarkan jualan tiket buat penyokong Perak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");