Isu Panas

Anwar terus tangguh dan tangguh lagi..

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 dan 15 Oktober ini sebagai tarikh disambung semula perbicaraan kes liwat melibatkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadu Saiful Bukhari Azlan.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu pada sebutan kes yang berlangsung Selasa.

Beliau juga menetapkan 25 hingga 29 Oktober, 22 hingga 26 November dan 6 hingga 10 disember tahun ini sebagai tarikh bicara kes liwat itu.

Semalam, Anwar gagal lagi untuk menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya, berdasarkan dakwaannya bahawa DPP Farah Azlina Latif mempunyai hubungan intim dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan,

Perbicaraan akan bersambung dengan pemeriksaan balas ke atas Dr Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur.

Peguam Anwar – Sankara Nair, berkata perbicaraan akan bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 2 petang bagi membolehkan mereka yang terbabit dengan sidang parlimen sepanjang tiga bulan itu menghadirinya.

“Ini adalah semasa sesi parlimen dan perbicaraan akan diteruskan,” katanya.

Sidang parlimen dijangka bermula pada 11 Oktober hingga 11 Disember ini. 21/9/2010

Cubaan Anwar nak gugur kes liwat gagal lagi…

Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan kes liwatnya menggunakan dakwaan kononnya Timbalan Pendakwaraya Farah Azlina Latif mempunyai hubungan sulit dengan saksi utama dan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, gagal apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin menolak rayuannya dengan sebulat suara..

Panel hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop, manakala dua lagi hakim ialah Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Ma’ah Azhar.

Ketika memgumumkan keputusan itu, Ahmad berkata panel hakim bersetuju dengan bantahan pihak pendakwa bahawa permohonan rayuan Anwar dibuat ketika perbicaraan sedang berlangsung dan berikutan itu ia tidak boleh dirayu.

Ahmad berkata keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan Seksyen 50 (1) Akta Mahkamah Kehakiman, iaitu bagi menentukan sama ada Mahkamah Rayuan boleh mendengar dan memutuskan sebarang rayuan ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Ahmad Maarop berkata, panel hakim sebulat suara berpendapat bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung dan ia tidak mengetepikan hak orang yang kena tuduh.

“Perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lalu bukan satu keputusan muktamad, maka ia tidak boleh dirayu. Kami tidak mempunyai kuasa mendengar rayuan ini. Rayuan ini ditolak sebulat suara,” kata Ahmad.

Peguam Anwar, Karpal Singh tidak puashati dengan keputusan berkenaan dan berkata dia akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, esok.

Pada 16 Ogos lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah telah mengetepikan permohonan Karpal supaya kes liwat Anwar digugurkan berdasarkan hubungan sulit Farah-Saiful, Mohamad Zabidin ketika memutuskan demikan berpendapat dakwaan hubungan sulit itu tidak menjejaskan kes berkenaan.

Karpal ketika ditemui pemberita selepas itu menganggap keputusan Mahkamah Rayuan tidak betul, tidak logik dan tidak masuk akal, sementara Anwar pula berkata haknya untuk mendapatkan keadilan telah diketepikan. – 20/09/10.

Saiful-Farah: Rayuan Anwar Ibrahim ditentukan esok

Jeng … jeng … jeng … Pada 9 pagi Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tuduhan kes liwatnya digugurkan. Ini merupakan percubaan kedua Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwat ke atasnya.

Penentu nasib Anwar nanti ialah panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Pada pagi 17 September lalu, pihak pendakwa yang diketuai Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden dalam hujahnya mengatakan Anwar tidak ada hak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lalu. Menurutnya keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah itu bukan keputusan yang terakhir.

Berikutan itu, pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh memohon kepada mahkamah memberi mereka masa untuk menyediakan persiapan hujah berikutan pihak pendakwaan tidak memberikan notis untuk membangkitkan isu itu.

Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Maarop kemudian membenarkan permohonan Karpal dan menetapkan pendengaran bantahan awal pada 9 pagi, 20 September, tarikh yang sama kes liwat ini sepatutnya bersambung di Mahkamah Tinggi.

Anwar memfailkan rayuan itu berikutan dakwaan kononnya hubungan intim antara pengadu dan saksi utama, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif menjejaskan kes itu. Anwar mendakwa menerusi hubungan sulit itu Saiful mempunyai akses kepada maklumat kes.-19/9/2010

Tak habis-habis dengan kes liwat Anwar…

Perbicaraan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penolakan Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap beliau dijadual Isnin ini.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Maarop membenarkan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh menangguhkan rayuan itu ke tarikh berkenaan bagi membolehkan beliau menyediakan hujah-hujah mengenai isu bidang kuasa mahkamah itu untuk mendengar perkara berkenaan.

Pasukan pendakwaan membangkitkan bantahan bahawa Anwar tiada hak buat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.-Agenda Daily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");