Perak Hari Ini

Apa jadi Hospital Perak Tengah?

PARIT 24 Sept. – Penduduk Seri Iskandar, Bota di sini menggesa Kementerian Kesihatan supaya menyegerakan pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah yang diluluskan pembinaannya oleh kerajaan Pusat sejak Februari 2008.

Ini berikutan hospital terdekat iaitu Hospital Changkat Melintang (HCM) di sini tidak lagi dapat menampung jumlah penduduk memandangkan hospital itu hanya menempatkan 50 katil.

Ahli Parlimen Parit, Mohamad Nizar Zakaria berkata, pembinaan pusat rawatan moden bernilai kira-kira RM112 juta itu telah diluluskan.

Malangnya beliau berkata, sehingga kini status projek tersebut masih menimbulkan tanda tanya.

“Tapak hospital yang dicadangkan itu seluas 12.1 hektar di sini memang diketahui umum.

“Berdasarkan cadangan asal projek berkenaan sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada sidang akhbar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini semalam.

Mohamad Nizar berkata, buat masa ini, penduduk di daerah Perak Tengah terpaksa mendapatkan rawatan di HCM.

Kata beliau, ekoran kesesakan hospital terbabit, banyak kes terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Teluk Intan (HTI) atau Hospital Seri Manjung (HSM).

Menurut beliau, dengan adanya hospital baru, ia dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa kepada penduduk setempat yang kini dianggarkan mencecah 80,000 orang.

Selain itu, ujar Mohamad Nizar, kira-kira 15,000 pelajar termasuk dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta beberapa institut kemahiran dan sekolah berasrama penuh boleh mendapat manfaat daripada pembinaan hospital baru tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");