Perak Hari Ini

Perak Sambut Baik Kerjasama Semua Pihak Pulihara Hutan – MB

IPOH, 25 Sept (Bernama) — Kerajaan negeri Perak mengambil sikap terbuka dan sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha pemuliharaan Hutan Simpan Temenggor di daerah Hulu Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan termasuk dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengenai isu pembalakan haram dan pemburuan haram di hutan simpan itu.

“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur khususnya dengan mereka yang kita dapati melakukan pemburuan haram. Saya telahpun mengarahkan supaya mereka yang gambar mereka dirakam sewaktu kegiatan pemburuan haram dilakukan saya minta pihak keselamatan mencari mereka ini dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Perbadanan Taman Negeri telah diarah mengambil langkah segera untuk membanteras gejala itu daripada berterusan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Khidmat Bergerak Barisan Nasional (BN) Negeri di sini pada Sabtu.

Zambry berkata ekosistem alam sekitar dan habitat pelbagai spesis hidupan liar di hutan itu perlu dipulihara sebagai khazanah hutan di negara ini.

Beliau berkata Perak merupakan antara negeri yang mengamalkan pengurusan pembalakan terancang di negara ini.

Sehubungan itu beliau mahu semua pihak supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan negeri dan perbadanan itu dalam menangani kegiatan haram itu.

“Saya pun memang memerlukan sokongan daripada mereka untuk membantu kerajaan negeri memastikan kegiatan pembalakan haram ini dapat kita atasi. Itu yang pertama…yang keduanya saya juga telah berbincang dengan MNS sebelum ini pun untuk turut sama membantu kerajaan negeri begitu juga dengan bantuan daripada WWF supaya dapat bersama-sama membantu kerajaan negeri untuk mengenalpasti pemburu haram,” katanya.

Mengenai cadangan MNS dan WWF untuk mewartakan hutan simpan itu sebagai pusat koservasi menerusi Kempen Selamatkan Temenggor, Zambry berkata kerajaan negeri bersikap terbuka terhadap perkara itu.

Beliau berkata pihanya sedia untuk menerima sebarang cadangan dan akan mengkaji kesesuaiannya sebelum mengambil sesuatu keputusan.

Kawasan hutan berkenaan terletak bersempadan dengan Taman Negeri Royal Belum.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");