Perak Hari Ini

Biaya rumah 90 peratus disokong

IPOH 23 Sept. – Keputusan kerajaan untuk mengekalkan pembiayaan rumah kepada 90 peratus mendapat sokongan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang mewakili golongan muda di negeri ini.

Menurut mereka, langkah tersebut amat wajar bagi membantu golongan muda dan berpendapatan rendah membeli rumah serta pada masa sama menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Penerangan Kesatuan Anak Melayu Islam Perak, Hafizul Abdul Hamid berkata, dalam kadar pinjaman 90 peratus pun, ramai orang khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu membeli rumah, apatah lagi jika kadarnya dikurangkan kepada 80 peratus.

”Sekarang di Lembah Klang, rumah paling tidak pun berharga RM100,000 dan jika pinjaman hanya 80 peratus, ini bermakna wang muka RM20,000.

”Justeru langkah mengekalkan kadar pinjaman sedia ada memang elok tetapi lebih baik jika dinaikkan kepada 95 peratus atau 100 peratus bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda yang baru tamat pengajian membeli rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kerajaan kelmarin membuat keputusan untuk mengekalkan pembiayaan rumah kepada 90 peratus bagi pembelian rumah pertama dan kedua.

Namun, cadangan itu mendapat bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik yang melihat ia akan menjejaskan peluang golongan muda, khususnya bumiputera untuk memiliki rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Maslin Sham Razman menyifatkan keputusan kerajaan itu merupakan satu pembelaan kepada generasi muda untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya, keputusan itu adalah selari dengan perjuangan Pemuda UMNO yang mahu supaya satu skim perumahan diwujudkan bagi golongan muda.

”Kita harap lebih banyak insentif dan dasar-dasar akan dibuat bagi memperkasakan generasi muda kerana kita sedia maklum, ekonomi cukup penting kerana semua perkara memerlukan kewangan yang tinggi.

”Kita alu-alukan keputusan kerajaan mengekalkan pembiayaan 90 peratus dan kalau boleh, kita harap dapat diberikan pinjaman 100 peratus supaya lebih ramai golongan muda dapat membeli rumah,” jelasnya.

Ketua Puteri UMNO negeri, Salbiah Mohamad pula berkata, pengekalan pembiayaan pinjaman sebanyak 90 peratus itu merupakan satu inisiatif untuk membantu golongan muda membeli rumah.

”Dengan pelbagai pinjaman termasuk kereta, bukan mudah untuk golongan muda yang baru bekerja untuk memiliki rumah di kawasan bandar yang harganya begitu tinggi.

”Keputusan kerajaan ini sekurang-kurangnya dapat membantu golongan muda membeli rumah mampu milik yang agak terhad di bandar dan pinggir bandar besar,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");