Berita Hari Ini
Like

Lawan Perkasa Anwar bukan Nurul Izzah, kata Ibrahim Ali

September 1, 2010
210 Views
0 Comments
3 minutes read
Lawan Perkasa Anwar bukan Nurul Izzah, kata Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Perkasa hari ini mengetepikan cabaran Nurul Izzah Anwar agar diadakan debat umum mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dengan menegaskan, aspek tersebut tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

Awal hari ini, Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai menulis dalam The Malaysian Insider bahawa idea “hak orang Melayu” dibawa oleh Perkasa hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan perlembagaan dan mengundang pertubuhan bukan kerajaan Melayu agar sertai debat.

Dalam reaksinya, Perkasa mendakwa bahawa hak-hak istimewa orang Melayu tidak boleh dipersoalkan atau dibahaskan oleh mana-mana pihak secara terbuka.

Oleh itu, pertubuhan itu menolak sebarang undangan agar diadakan diadakan dialog secara terbuka.

“Ini (Nurul Izzah) ikan bilis pada saya… budak tak lepas hingus lagi yang tak tahu sejarah perjuangan kemerdekaan. Berhingus pun dah pandai jual maruah bangsa,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar).

Justeru, tambah Ibrahim beliau sebenarnya menentang pendirian bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Lawan saya bapa beliau, bukan beliau (Nurul Izzah). Beliau orang kecil,” kata Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi SMS hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mengetepikan hujah Nurul Izzah, wakil rakyat penggal pertama, sambil meminta beliau memberi tumpuan ke atas kes liwat kedua bapanya.

“Ini isu yang sangat kecil, minta beliau beri tumpuan terhadap kes liwat bapa beliau atau debat dengan ketua Wiranita (sayap wanita Perkasa). Adakah perbicaraan bapa beliau satu konspirasi?” tambah Ibrahim dalam komennya.

Ketua Wiranita Raihan Sulaiman Palestine juga sealiran dengan sentimen Ibrahim dengan menekankan, Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas tentang hak keistimewaan orang Melayu.

“Kebelakangan ini timbul banyak persoalan, banyak hujah mengenai Artikel 153. Bagaimana ini boleh terjadi?

“Anda tidak boleh debat mengenai sesuatu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” kata Raihan.

“Malah di Parlimen sendiri, anda perlu memperoleh persetujuan dua pertiga untuk meminda atau bercakap mengenai perlembagaan dan beliau (Nurul Izzah) mahukan debat awam mengenai perkara ini.

“Apa yang orang Melayu layak, apa yang mereka boleh peroleh, semuanya sudah jelas secara hitam putih,” kata Raihan lagi.

Raihan juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa Perkasa akan menggunakan apa jua cara dalam memastikan tidak sesiapa pun mempersoalkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan keistimewaan orang Melayu.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Ia telah diinstitusikan dalam bentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) ekoran rusuhan kaum 1969.

Dalam tulisannya, Nurul Izzah sambil menekankan bahawa orang Melayu, yang berada di persimpangan, akan menentukan sama ada Ketuanan Melayu ataupun Ketuanan Rakyat yang bakal mendefinsikan Malaysia.

Perkasa bersama badan induknya, Majlis Perundingan Melayu secara lantang mempertahankan DEB demi mengekalkan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Malah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa tulisan dan kenyataan juga sealiran dengan pendirian Perkasa dengan menegaksan, DEB masih diperlukan untuk menjaga kepentingan orang Melayu.

Tulisan terbaru beliau disiarkan dalam blognya semalam.

Komen & Pendapat

Leave a Reply