Isu Panas

Bekas pemimpin PKR dedah pengakuan Reformis

NG LUM YONG Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Bekas seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan mengenai pengakuan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar yang telah diberi tugas oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ng Lum Yong yang merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa, pengakuan tersebut terdapat di dalam rakaman perbualan telefon antara Ramlan dengan seorang yang sehingga kini masih belum dikenali.

Beliau mendakwa, rakaman perbualan telefon itu diterimanya dalam bentuk cakera padat di rumahnya 10 hari yang lalu.

”Sejak itu saya mendengar rakaman perbualan ini boleh dikatakan pada setiap hari. Saya mahu mengenal pasti identiti mereka dan akhirnya saya dapat mengecam salah seorang mereka ini ialah Ramlan Abu Bakar, ketua gerakan reformis.

”Saya tidak kata dakwaan mereka ini benar tetapi saya percaya rakaman audio ini telah tersebar ke seluruh negara. Selain disebarkan dalam bentuk cakera padat orang ramai dapat mengaksesnya melalui blog suaraampangpoint.blogspot,” dakwanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Wartawan yang hadir pada sidang akhbar tersebut turut diberi peluang mendengar perbualan antara Ramlan dan seorang individu yang memakan masa selama 10 minit.

Antara kandungan perbualan itu ialah mengenai habuan yang dijanjikan dalam bentuk tapak perniagaan pasar malam (uptown) kepada penggerak reformis bagi menjayakan demonstrasi bogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada tahun 2009.

Demonstrasi itu sebagai bantahan terhadap kerajaan negeri yang menaikkan sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 kepada RM250 sebulan tetapi ia akhirnya dibatalkan

Ekoran daripada rakaman perbualan telefon tersebut Lum Yong menggesa pucuk pimpinan parti segera menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara tersebut.

”Tan Sri Khalid dan Azmin merupakan dua sahabat saya dan saya fikir nama mereka perlu dibersihkan sekiranya dakwaan yang dibuat melalui perbualan itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, di peringkat ini pucuk pimpinan tidak boleh membiarkan rakaman itu tersebar luas kerana kemungkinan rakyat akan menerima bulat-bulat setiap kandungan perbualan berkenaan.

”Pucuk pimpinan khususnya Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail perlu mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa berkenaan supaya setiap dakwaan yang dibuat boleh ditentukan sama ada benar atau tidak melalui satu siasatan terperinci,” katanya.

”Seperti mana kes peguam Datuk V.K. Lingam, pengedaran cakera padat ini boleh dijadikan asas penubuhan jawatankuasa siasatan,” katanya.

Beliau berkata, setiap pihak yang dipanggil untuk memberi keterangan dikehendaki memberikan kerjasama sewajarnya termasuk Menteri Besar Selangor dan Azmin.

Menjawab satu soalan beliau menegaskan pendedahan yang dibuatnya ini dilakukan secara sukarela dan bukannya diupah atau dibayar oleh pihak tertentu.

”Saya merupakan salah seorang pengasas parti ini dan apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata tanda sayang saya terhadap parti. Saya tidak mahu parti rosak disebabkan perkara-perkara seperti ini.

”Saya lakukan secara sukarela dan bukannya saya menerima bayaran tertentu. Saya mahu tegaskan di sini saya tidak dibayar. Saya adakan sidang akhbar ini semata-mata mahu selamatkan PKR,” katanya lagi.

Dalam pada itu ketika ditanya sekiranya PKR tidak melayan permintaannya itu Lum Yong berkata, ia merupakan sesuatu yang amat mengecewakan.

”PKR juga tidak sepatutnya menjadi parti keluarga sebaliknya ia harus menjadi parti untuk rakyat. Amalan seperti ini langsung tidak sihat dan ia perlu dihentikan segera,” katanya lagi. Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");