Perak Hari Ini

Golongan kurang mampu diseru daftar segera

IPOH 8 Okt. – Kerajaan negeri Perak menyeru golongan sasar yang kurang berkemampuan supaya mendaftar dengan tabung bantuan khairat kematian dan pendidikan negeri bagi membantu meringankan beban mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, sejumlah RM6 juta diperuntukkan untuk kedua-dua tabung tersebut.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, RM4 juta akan disalurkan untuk Program Perlindungan Takaful Tabarruk manakala RM2 juta lagi kepada Tabung Pendidikan Negeri Perak.

“Sejak dilancarkan pada 1 Ogos lalu, kedua-dua skim takaful dan tabung pendidikan ini kurang mendapat sambutan.

“Saya menyeru keluarga yang termasuk dalam golongan sasar ini supaya mendaftar. Setakat ini hanya sedikit sahaja yang mendaftar mungkin ramai lagi tidak tahu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hang Soon, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjalankan promosi di daerah-daerah untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada orang ramai perkara itu.

Mengulas mengenai Program Perlindungan Takaful Tabarruk jelas beliau, skim tersebut terbuka kepada orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan JKM dan penerima bantuan bulanan agensi terbabit serta Baitulmal berumur di bawah 75 tahun.

Selain itu katanya, skim tersebut juga dibuka kepada ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dengan e-Kasih, ketua isi rumah Orang Asli serta warga tua miskin tegar yang juga berumur di bawah 75 tahun.

“Mereka ini perlu mencarum dengan skim tersebut dan sekiranya ada ahli keluarga yang meninggal, waris akan mendapat RM2,000.

“Tetapi pencarum-pencarum ini perlu menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Bagi Tabung Pendidikan Negeri Perak pula ujar Hang Soon, RM200 akan dimasukkan ke dalam Skim Pinjaman Pendidikan Nasional (SSPN) untuk setiap kelahiran yang didaftarkan bermula Januari 2010.

Tabung pendidikan tersebut katanya, bertujuan sebagai simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak kelahiran Perak.

“Pemohon perlu mendaftar dengan Yayasan Perak dan sejumlah RM200 akan dimasukkan ke dalam tabung mereka. Ibu bapa yang mempunyai tabung ini boleh menabung dan menambah tabungan di dalam SSPN dari semasa ke semasa.

“Tetapi tabung ini hanya terbuka kepada anak kelahiran Perak dan untuk isi rumah yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan,” katanya.

Mereka yang berhasrat mendapat kedua-dua bantuan ini boleh mendapat borang di Yayasan Perak atau melalui ketua-ketua kampung selain boleh menghubungi talian 05-2552929 untuk maklumat lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");